Raih Lebih RM200 Bilion, Lawatan PM Tidak Sia-sia




 Oleh: Noraini Nordin


ULASAN: Di sebalik kritikan pembangkang terhadap kekerapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke luar negara, apa yang tidak disebut, bahkan disembunyikan oleh mereka ialah hasil daripada lawatan-lawatan tersebut kepada kemakmuran masa depan negara.


Pembangkang hanya memfokuskan kepada isu perbelanjaan dan mereka dakwa lawatan itu membazirkan banyak wang negara.


Tetapi, sedarkah mereka, dalam setiap lawatan yang dilakukan, PMX bukannya pergi untuk makan angin, berhibur atau bercuti.


Setiap lawatan yang dilakukan oleh PMX adalah atas urusan negara, khususnya mengukuhkan hubungan dua hala serta menarik pelaburan demi kemakmuran masa depan Malaysia.


Belum sekali pun Anwar pergi ke luar negara untuk bercuti atau berlibur.


Angka pelaburan sebagai bukti


Melihat kepada angka-angka pelaburan yang berjaya dibawa masuk sebagaimana diperjelaskan oleh PM di Parlimen pagi tadi, terbukti kini lawatan-lawatan tersebut memberi impak yang amat besar kepada masa depan negara.

Noraini Nordin

Dalam erti kata lain, ia bukanlah lawatan kosong yang membazirkan wang negara.


Menurut Anwar, negara berpotensi meraih pelaburan bernilai RM216.04 bilion hasil daripada beberapa lawatannya ke luar negara setakat ini.


Katanya, lawatan rasmi beliau ke China pada 29 hingga 31 Mac lalu telah menjana nilai potensi pelaburan sebanyak RM170.07 bilion manakala misi di New York, Amerika Syarikat, bulan lalu pula membawa hasil pelaburan bernilai RM4.74 bilion.


"Terbaru, hasil lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu pula, pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion membabitkan sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui, logistik dan aeroangkasa telah berjaya dibawa masuk.


"Pelaburan terbesar daripada UAE ialah melalui Masdar iaitu pembangunan projek tenaga boleh dibaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt (GW) bernilai RM37.8 bilion.


"Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM2.1 bilion adalah dalam sektor logistik dan RM709.1 juta bagi sektor aeroangkasa,” tambah beliau ketika memperincikan hasil lawatannya itu di Dewan Rakyat.


Di waktu yang sama, Anwar berkata, bagi meyakinkan pelaburan China yang turut membabitkan syarikat automotif, Geely, beliau akan turun sendiri ke Tanjung Malim esok (Rabu) untuk merealisasikan pelaburan syarikat berkenaan di Lembah Teknologi Tinggi Automotif, di kawasan sempadan Perak dengan Selangor itu.


Bawa masuk pelabur hasil bukan sekelip mata


Oleh itu, jangan semudah itu sesiapa membuat tuduhan semberono dan tanpa fakta bahawa Anwar ke luar negara hanya membazirkan wang negara.


Membawa masuk pelabur, selain memerlukan komitmen dan kepakaran dalam meyakinkan syarikat-syarikat besar luar negara mengeluarkan wang mereka untuk menanam modal di negara kita, ia juga bukanlah sesuatu yang hasilnya boleh diperolehi dalam sekelip mata.


Sekurang-kurangnya setahun selepas komitmen pelaburan dimeterai, barulah hasil pelaburan itu dapat dilihat serta dirasai dengan terdirinya pelbagai infrastruktur bangunan dan peluang-peluang pekerjaan yang tersedia melaluinya.


Bayangkan dengan nilai pelaburan komited lebih RM200 bilion berjaya dibawa masuk hanya dalam tempoh 10 bulan Anwar menerajui negara, berapa besar kesannya kepada rakyat dan masa depan negara selepas ini?


Dengan kejayaan sebegitu besar dijana, tidak salah lagi bila Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menggelarkan Anwar sebagai “jurujual terbaik” untuk Malaysia.


Bersama pengalaman berkhidmat dengan tiga Perdana Menteri, Tengku Zafrul tentunya kenal membeza antara kaca dengan permata.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.


No comments: