Wan Saiful jangan main isu Melayu – Cina takutkan rakyat
KEADILAN Pulau Pinang membidas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa rancangan kerajaan untuk mendapat kepakaran pakar perumahan awam dari Singapura bagi diguna dalam industri perumahan awam di negara ini mempunyai agenda perkauman.
Ketua Penerangan KEADILAN Pulau Pinang Amir Ghazali ketika mengulas dakwaan Wan Saiful kononnya pemilikan tanah dan hartanah bumiputera di negeri itu lebih rendah berbanding orang Cina disifatkan hanya cubaan menakut-nakutkan rakyat terutama orang Melayu terhadap pemimpin DAP.
Beliau menegaskan isu yang cuba dibangkitkan Wan Saiful telah menjadi masalah berterusan sejak Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan dari 1990 hingga 2008 dan juga ketika era pentadbiran PN apabila Gerakan bersama Bersatu dan Pas di peringkat Persekutuan.
“Jadi mengapakah sekarang soal pemilikan hartanah di Pulau Pinang hendak dijadikan isu besar dan sengaja mahu menyalahkan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran parti DAP?” soal Amir.
Mengulas lanjut beliau menegaskan bahawa hujah dibawakan Wan Saiful juga tidak kukuh, ia berdasarkan kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pemikir Pulau Pinang, Datuk Dr Muhammad Farid Saad sebelum ini.
“Ia (hujan Wan Saiful) sama sekali bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibangkitkan oleh Datuk Dr Muhammad Farid Saad yang melaporkan bahawa terdapat puluhan ribu tanah tidak didaftarkan pemilikannya berdasarkan Kanun Tanah Negara 1995.
“Masalah timbul kerana tanah yang diduduki penduduk belum mempunyai geran tanah yang membuktikan tanah tersebut menjadi hak milik mereka dan mereka pula tidak pernah membayar sebarang cukai tanah kepada pihak kerajaan negeri,” kata Amir pada satu kenyataan.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada awal minggu ini mengumumkan bahawa kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan pakar perumahan dari HDB Singapura untuk mengetahui kejayaan program perumahan awam di negara itu.
Langkah itu jelasnya bagi mendapatkan pandangan dan kepakaran mereka supaya boleh diadaptasi bagi menangani isu perumahan membabitkan golongan kurang berkemampuan di negara ini.
Namun hasrat baik itu dijadikan modal serangan politik oleh beberapa pemimpin Perikatan Nasional yang menuduh Nga cuba melemahkan pemilikan harta Melayu dan taburan penduduk.
Sementara itu Amir menegaskan, dakwaan kononnya orang Melayu ditindas di Pulau Pinang adalah sama sekali tidak benar.
Jelasnya terdapat 200 buah kampung tradisi di Pulau Pinang dengan sebahagian besarnya masih mengekalkan tradisi kekampungan walaupun berada di tengah-tengah bandar.
“Sebagai contoh Bagan Jermal yang berusia 80 tahun dan wujud sebelum zaman penjajahan Jepun sehingga sekarang masih wujud lagi.
“Jadi tidak timbul isu penduduk orang Melayu dihalau keluar disebabkan adanya projek perumahan yang akan didirikan.
“Malahan kerajaan negeri Pulau Pinang tampil membantu menyelesaikan dengan merujuk kepada dasar penyediaan kawasan penempatan baru,” katanya.