https://malaysiadateline.com/ulama-bantah-anwar-jadi-pm-hadi-raisuny-atau-sayuti-yang-berbohong/#more
Apakah benar dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Ketua Persatuan Ulama Dunia, Dr Ahmad Raisuny, tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia kini menjadi tandatanya.
Ini kerana, Raisuny yang ketika ini berada di Malaysia ditanya secara berterus terang tentang dakwaan Hadi ini.
Raisuny bukan sahaja menafikan perkara itu bahkan berkata, beliau sendiri akan datang ke Malaysia jika Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas ini, bagi meraikannya.
Inilah juga yang akan dilakukan oleh bekas Ketua Persatuan Ulama Dunia, Dr Yusof Qaradhawi, iaitu datang ke Malaysia raikan Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, kata Raisuny.
Perkara ini dinyatakan oleh bekas pengikut setia Hadi yang kini menyertai Amanah, Ahmad Sayuti Basiron kepada Malaysia Dateline.
Cerita ini kini menjadi viral di kalangan penyokong politik Islam dan Melayu di negara ini sekarang terutama di kalangan penyokong dan aktivis Islam di Malaysia.
Sayuti buat pertama kali bertemu Hadi selepas Pas berpecah dan melahirkan Amanah.
“Saya jumpa sendiri Tok Guru Haji Hadi di rumahnya dekat Rusila baru-baru ini selepas lama tidak berjumpa.
“Tok Guru mulakan minit-minit pertama pertemuan itu dengan terus cuba yakinkan saya bahawa, pengkhianatan paling utama Amanah adalah kerana “jadi alat” pada DAP dan alat pada Anwar Ibrahim. Kata Tok Guru, itulah kesalahan paling besar pimpinan Amanah sekarang,” kata Sayuti.
Aktivis Amanah ini turut merekodkan pertemuan beliau dengan Hadi itu dalam Facebooknya. Turut disertakan adalah gambar-gambar pertemuan beliau dengan Hadi.
Menurut Ahmad Sayuti, dalam pertemuan itu, Hadi berkata, Anwar telah bertemu dengan semua pemimpin Islam di dunia bagi membuat kempen agar menyokong beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Termasuklah juga yang telah ditipu oleh Anwar itu adalah (antaranya) Dr Yusuf Qaradhawi dan juga Presiden Turki sendiri, Racep Tayyip Erdogan.
“Keduanya ditipu, dan keduanya memujuk sungguh-sungguh saya agar sokong Anwar,” kata Hadi kepada Ahmad Sayuti.
“Kecuali kata Tok Guru, hanya seorang sahaja, iaitu Syeikh Prof Dr Ahmad Raisuny (Pengerusi baru, Persatuan Ulamak Dunia) yang tidak berjaya ditipu Anwar,” kata Sayuti.
Menurut Sayuti, Hadi membuat dakwaan ini berdasarkan pertemuan selama dua jam antara beliau dengan Raisuny di Rusila sebelum beliau berjumpa Sayuti baru-baru ini.
“Ini menimbulkan tanda tanya kepada saya dan saya ingin tahu cerita sebenarnya sesuai dengan konsep Islam iaitu tabayyun atau siasat dulu.
“Selepas itulah saya sendiri bertemu dengan Raisuny yang kebetulan berjumpa juga dengan Anwar,” cerita Sayuti.
(Tabayyun maknanya tangguh seketika berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah, iaitu yakin akan kebenarannya atau kebathilan sesuatu berita itu.)
Selepas pertemuan dengan Hadi itu, Sayuti telah ke majlis bersama Raisuny untuk mengetahui cerita sebenarnya yang kebetulan bersama dengan Anwar dalam satu majlis.
Menurut Sayuti, soalan bertalu-talu ditanya oleh orang ramai lkepada Ketua Ulama Dunia itu termasuklah persoalan apakah benar beliau tidak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri dan beliau mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sehingga akhir
“Jawab Syeikh sangat ringkas, tapi straight forward; Aku tidak pernah dengar (perkara yang disebut itu) dan inilah kali pertama aku dengar perkara itu”.
Tidak berpuashati dengan jawapan Raisuny itu, Sayuti telah bertemu sendiri dengannya dan bertanya lagi persoalan itu dan mendapat jawapan dari Raisuny.
*“Saya dah sampaikan pada Anwar pesanan Qaradhawi melalui saya – Qaradhawi berkata walau pun agak uzur hari ini, tapi dia sendiri berjanji akan datang ke Malaysia ziarahi Anwar jika Anwar berjaya jadi PM nanti,”* kata Raisuny sebagaimana yang diceritakan Sayuti.
Kata Raisuny lagi, *“Saya sendiri berjanji pada Anwar, saya pun akan datang menemani Qaradhawi ziarahi Anwar jika kamu jadi PM nanti…”*
** Sekali lagi Hadi Awang menipu. Tidak pelik, sebelum ini Hadi pernah dakwa Dr Yusuf Qardhawi itu pekak.