APA PUN BUAT ELOK-ELOK.MALU PADA RAKYAT YANG MEMILIH.MUNGKIN 50 TAHUN LAGI NAK DAPAT SEBEGINI



Azmin bakal mengganti Khalid lagi? — G. Manimaran

June 28, 2010

28 Jun — Azmin Ali! Pemimpin muda PKR yang tidak asing dalam arena politik tempatan. Perkembangan mutakir melatakkan pemimpin berusia 46 tahun ini menjadi tumpuan Selangor.

Malah tidak keterlaluan beliau menjadi tumpuan keseluruhan PKR mulai sekarang.

Awal minggu lalu, beliau melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) secara tiba-tiba, anak syarikat kerajaan negeri, yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR.

Kini sudah diketahui umum, Azmin dilantik menggantikan Khalid sebagai Pengerusi PKR Selangor.

Nama Azmin, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi sebutan dalam setiap percaturan politik di negeri Selangor sejak Mac 2008. Nama beliau memang disebut-sebut sejak sepanjang satu dekad lalu tetapi tsunami politik 2008 membawa Azmin lebih dekat dengan Selangor.

Mengimbas kembali tulisan-tulisan blog dan cakap-cakap sejak pertengahan 2008, banyak pihak mendakwa yang Azmin bercita-cita untuk menerajui kerajaan negeri. Bagaimanapun Azmin sudah banyak kali menafikan dakwaan-dakwaan ini.

Yang terakhir kelmarin. Azmin menegaskan beliau secara peribadi tidak pernah mendesak Khalid agar melepaskan jawatan sebagai menteri besar. Melainkan katanya, hanya meminta agar Khalid membetulkan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri.

Mengumumkan perubahan kecil semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, “(langkah) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta.”

The Malaysian Insider sebenarnya difahamkan Khalid patut berbuat demikian ketika pertemuan di Kota Baru bulan lalu.

Berdasarkan kenyataan umum dikeluarkan semalam, Khalid selaku Menteri Besar dikatakan berhadapan dengan banyak aktiviti pentadbiran negeri telah membataskan masa beliau untuk memberi tumpuan ke atas usaha-usaha memantapkan parti itu.

“Saya ada banyak kerja. Saya memang banyak aktiviti seperti pelaburan yang saya kena,” kata Khalid. Antara projek khas yang ingin Khalid memberi tumpuan ialah mengambil alih operasi air di Selangor dan projek pembersihan Sungai Klang yang perlu menggemblengkan modal pelaburan di dalam dan luar negara.

Pun begitu, beliau dengan rendah diri mengatakan “boleh jadi pengalaman saya daripada segi politik tidak berapa ada juga, tetapi untuk menumpukan kepada pelaburan itu adalah usaha penting untuk kejayaan parti dan parti berpendapat saya ada pengalaman.”

Di atas faktor itu, kata Khalid, beliau mencadangkan kepada pucuk pimpinan untuk memberi peluang kepada orang lain meneraju PKR Selangor bagi memastikan negeri tersebut kekal dikuasai PKR dan pakatan pembangkang.

Khalid sekali lagi tidak menamakan penggantinya tetapi serahkan kepada pucuk kepimpinan. Pucuk kepimpinan menamakan Azmin - melangkah dari Wilayah Persekutuan ke Selangor.

“Saya serahkan kepada Presiden untuk menamakan mereka (penggantinya) supaya kita dapat teruskan usaha ini,” kata Khalid.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar. Kumpulan ini juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Cakap-cakap bahawa adanya usaha hendak mengetepikan Khalid mendapat liputan besar kira-kira seminggu sebelum sesi pemukiman atau temu rapat PKR kali ini.

Pokoknya, cakap-cakap ini sudah kedengaran menjelang Kongres Nasional Keenam PKR akhir bulan lalu di Kota Baru, yang diadakan sebulan selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Kerusi Hulu Selangor dimenangi PKR pada Mac 2008 tetapi gagal dipertahankan pada 25 April lalu. Dalam pilihan raya kecil ini, jentera pilihan raya diketuai oleh Khalid selaku menteri besar. Ia pilihan raya kecil pertama bagi Khalid selaku menteri besar.

Difahamkan laporan bedah siasat pilihan raya itu antara lain mengesyorkan agar jentera kepimpinan negeri dirombak sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13. Berada dalam senarai di atas ialah Khalid.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa Khalid tidak wajar memikul dua tanggungjawab - sebagai menteri besar dan juga sebagai pengerusi PKR negeri meskipun di parti-parti lain, formula dua kepimpinan menjadi amalan biasa.

Bagaimanapun orang dalam PKR berpandangan sebaliknya. Mereka menggesa agar Khalid melepaskan jawatan pengerusi PKR negeri dan hanya memberi tumpuan terhadap tanggungjawab sebagai menteri besar.

Ucapan dasar Presiden PKR ketika kongres bulan lalu juga banyak menekankan perkembangan di Selangor dengan kepimpinan kerajaan negeri itu ditegur dengan nama Khalid disebut beberapa kali. Perwakilan-perwakilan yang membahaskan ucapan dasar juga mengambil kesempatan dengan banyak menekankan senario Selangor.

Mengambil kira tumpuan perbahasan seolah-olah PKR hanya hendak memberi tumpuan kepada Selangor. Bagaimanapun beberapa menafikan tanggapan sedemikian, sebaliknya menekankan mahu menjadikan Selangor sebagai model politik kepada PKR.

Tidak dapat dinafikan bahawa Selangor negeri penting, sehingga Umno-BN hendak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan balik negeri ini.

Kepimpinan PKR negeri memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak beranggapan hendak mengetepikan kepimpinan Khalid sama sekali.

Seorang pemimpin kanan PKR Selangor beranggapan bahawa mereka mahukan Khalid memberi tumpuan ke atas pentadbiran kerajaan negeri Selangor manakala Azmin pula memfokus terhadap jentera politik negeri.

Pemimpin itu menegaskan, Azmin tidak menyasarkan jawatan menteri besar sebagaimana didakwa oleh banyak pihak termasuk Umno-BN sendiri.

Bagaimanapun beliau mengakui ada pihak dalam PKR Selangor mengambil kesempatan serangan daripada Umno-BN untuk menekan Khalid.

“Umno Selangor masih diterajui oleh Datuk Seri Najib (RazaK), dengan Datuk Seri Noh Omar sebagai timbalan beliau, mereka bawa masuk (bekas ketua AMK) Ezam Mohd Noor,” katanya.

Baru-baru ini Ezam dilantik sebagai senator dan dilihat sebagai antara senjata untuk menyerang kepimpinan PKR khususnya di Selangor. Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri mahu Selangor ditawan semula dalam apa jua cara.

“Jadi Umno meneruskan tekanan mereka ke atas Khalid, jadi ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mahu memastikan jentera politik tidak terjejas dalam serangan Umno-BN... maka, kami merasakan orang paling sesuai ialah Azmin,” kata beliau dengan merujuk Azmin sebagai ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa.

“Dari segi prestasi Khalid, kami tidak ada sebarang pertikaian... malah Khalid telah menjalankan tugas dengan lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh Umno-BN sepanjang lima dekad lalu,” katanya lagi.

Sehubungan ini, Khalid dikatakan ‘cemerlang’ dalam menguruskan kerajaan negeri tetapi berada di ruang yang jauh bertentangan dalam hal-hal berkaitan dengan politik parti khususnya politik PKR.

“Kelemahan ini yang tidak wajar dibiarkan berterusan,” kata pemimpin itu dengan merujuk kepada insiden pemberontakan kepimpinan ahli jawatankuasa bahagian Kuala Selangor yang dipimpinnya.

Bagaimanapun pemimpin PKR ini enggan terus-terang sama ada langkah membawa masuk Azmin menerajui jentera PKR Selangor bertujuan menghadapi pemilihan parti November ini.

“Ya benar Azmin semakin berpengaruh dan kuat dalam PKR, tetapi sama ada Azmin mahu tanding jawatan timbalan presiden, saya tidak pasti... tetapi apa yang saya tahu semua orang bercita-cita untuk memegang jawatan lebih tinggi,” kata beliau.

The Malaysian Insider difahamkan meskipun Khalid tidak pernah menyatakan dengan terbuka hasrat untuk mencuba nasib dalam pemilihan timbalan presiden, tetapi ada yang mengatakan beliau sudah mula melangkah ke arah itu.

Apakah rombakan kecil ini mencatatkan pergerakan beliau ke arah itu? Azmin pernah dicalonkan bertanding kerusi itu tiga tahun lalu tetapi beliau membatalkan hasrat itu.

Dalam pertemuan sempena dua tahun menjadi Menteri Besar Selangor Mac lalu, Khalid pernah berkata, beliau hampir-hampir hendak melepaskan jawatan itu awal tahun lalu apabila ada pihak mendakwanya mengamalkan rasuah ekoran sumbangan lembu korban dan kos penyelenggaraan kereta peribadinya atas nama urusan kerajaan negeri.

Rombakan kecil sudah dibuat tetapi percaturan politik PKR Selangor belum berakhir.

Sudah pasti pemilihan pucuk kepimpinan parti hujung tahun ini akan memperlihatkan satu lagi pusingan yang menarik untuk dilihat dalam PKR.

Dan, perkembangan seterusnya akan lebih menarik untuk dilihat dalam pemilihan calon PKR Selangor. Pengasingan kuasa antara menteri besar dan pengerusi negeri akan menguji keberkesanan kemantapan PKR di Selangor.

Azmin, kini Ketua Whip di Dewan Undangan Negeri Selangor, dilihat bakal menggantikan kedudukan Khalid lagi selepas ini. Sekali lagi persepsi politik mengatasi pengurusan dan perjalanan PKR selaku komponen Pakatan Rakyat walaupun banyak penafian, penjelasan dan pendekatan remedi dilakukan.