PRU16 DAN PRN SERENTAK BUKAN UNTUK JIMAT KOS, BN MESTI PERTAHAN PILIHANRAYA BERASINGAN

 

SHAHBUDIN HUSIN



16 Mac 2026
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, pilihan raya negeri itu akan diadakan dalam tempoh enam bulan mendatang.
Ia berikutan katanya, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 yang ada sekarang akan berakhir pada 30 Disember depan.
“Suka atau tidak, PRN itu tetap perlu diadakan tahun ini kerana ia adalah proses demokrasi yang ditetapkan mengikut tempoh penggal pentadbiran semasa.
“Tarikh akhir kita (penggal ini) adalah pada 30 Disember dan sudah pasti ia (PRN) akan diadakan sebelum tarikh itu," katanya lagi.
Dengan penegasan Ab Rauf itu, yang hampir pasti ialah BN Melaka secara tersiratnya mahu PRN diadakan lebih dulu dan berasingan dengan PRU16.
Untuk memastikan BN kekal memerintah Melaka, malah mampu mengekalkan kemenangan dua pertiganya, paling berpotensi ia dapat dicapai ialah dengan mengadakan PRN Melaka lebih dahulu sebelum diadakan PRU16.
Ini kerana jika PRN Melaka disekalikan dengan PRU16, beban yang ada di kerajaan Pusat akan turut menempias sekali ke negeri itu.
Akhirnya nanti tak pasal-pasal, seperti mana rakyat sedang ghairah untuk menukar kerajaan di Pusat, kesannya akan menimpa sama negeri Melaka.
Kesianlah Ab Rauf kerana beliau setakat ini adalah pemimpin yang berjaya mengekalkan kecemerlangan Melaka serta tiada isu besar melanda kepimpinannya.
Sama seperti Johor, BN negeri itu juga harus mengadakan pilihan raya yang berasingan dengan PRU16.
Jika tidak, bersama beban dan isu yang menimbun di Pusat, peluang untuk mengekalkan kemenangan di Johor pun boleh tergugat.
Ringkasnya, BN Melaka dan Johor harus mengadakan pilihan raya di kedua-dua negeri itu terlebih dahulu dan berasingan dengan PRU16 atau pilihan raya peringkat Parlimen.
Dalam waktu yang sama, seperti mana sudah banyak menjadi bahan berita, PH khususnya DAP dan Amanah telah berkali-kali tampil mendesak agar PRU16 akan datang disekalikan dengan pilihan raya di semua negeri.
Kononnya pilihan raya serentak akan menjimatkan kos.
Benarkah PH begitu prihatin dengan kos pilihan raya dan penjimatan wang negara?
Jika benar-benar prihatin, kenapa ketika PH bergelar pembangkang di Pusat sewaktu PRU15 lalu tetapi mereka ketika itu menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, mereka beria-ia mahu mengasingkan pilihan raya di negeri masing-masing dengan pilihan raya peringkat Parlimen?
Kenapa ketika PRU15 pada tahun 2022 dulu PH tidak memikirkan soal penjimatan kos apabila memlih pilihan raya yang berasingan?
Sebenarnya bukan soal kos yang PH fikirkan, tetapi tentang kerusi dan kuasa.
Jika PRU16 diadakan serentak dengan PRN negeri-negeri, PH dengan sendirinya dapat memanfaatkan perkara itu untuk memperolehi lebih kerusi DUN buat mereka di Melaka dan Johor.
Di kedua-dua negeri itu ketika ini, BN sedang menguasai majoriti dua pertiga, manakala PH hanya memiliki jumlah kerusi yang minima saja.
Dengan pilihan raya diadakan serentak, bersekali dengan pembahagian sumber kempen antara parti-parti yang bersama dalam kerajaan Pusat, PH boleh menuntut untuk memperolehi lebih banyak kerusi untuk mereka tandingi.
Dengan itu, tercapailah hasrat PH, khususnya DAP dan Amanah untuk bertanding banyak kerusi di Melaka dan Johor.
Selain itu, pada PRU16 akan datang juga, PH sedang berdepan tekanan kehilangan kuasa yang makin nyata kesan penolakan rakyat yang kian ketara hari demi hari.
Penolakan dan petunjuk kehilangan kuasa itu sudah pun diperlihatkan lebih awal melalui PRN Sabah yang lalu.
Untuk itu, jika PRU16 dan PRN diadakan serentak, PH dapat menyerap tekanan itu secara bersama dengan BN yang turut berada dalam kerajaan di Pusat.
Tetapi jika PRN Melaka dan Johor diadakan berasingan dengan PRU16 dan katalah BN masih masih mampu mengekalkan kuasa di kedua-dua negeri itu, yang lebih tertekan menghadapi PRU16 tentunya ialah PH.
BN pula, jika mereka terus menang dua pertiga di Melaka dan Johor tanpa bekerjasama dengan PH, ia juga akhirnya akan memberi lebih semangat untuk mereka bertanding solo pada PRU16.
Akhirnya, yang terus sengsara ialah PH.
Sedemikian, bagi memastikan BN lebih berpotensi mengekalkan kuasa di Melaka serta Johor dan seterusnya membuka jalan untuk bertanding 115 kerusi di peringkat Parlimen, mereka mestilah bertegas agar tiada pilihan raya serentak.
Survival BN hanya boleh dihidupkan jika PRU16 dan PRN diadakan secara berasingan. - ShahbudinHusin 16Mac2026.




No comments: