Himpunan Bersatu: Mungkin ucapan Tun Mahathir yang terakhir
Dalam mesej perpisahan penuh beremosi, Dr Mahathir Mohamad berkata ucapan dasarnya sebagai pengerusi Bersatu mungkin menjadi yang terakhir.
Beliau berharap masyarakat Melayu Islam menggunakan peluang baharu yang wujud hasil perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan memecahkan budaya lampau dan membentuk yang baharu.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini berkata, akhirnya, beliau tidak peduli apa yang orang perkatakan mengenai dirinya.
“Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua yang diadakan di Putrajaya malam ini.
Dr Mahathir turut menerima tepukan gemuruh sebaik sahaja menamatkan ucapannya dan ianya diikuti dengan laungan “Hidup Tun” berulang kali oleh perwakilan.
“Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.
“Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. InsyaAllah akan terhasillah pengorbanan kita.”
“Itulah pesanan saya. Peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak. Justeru, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita.”