Tun Mahathir dakwa SPRM diperguna Najib lawan pembangkang
Dr Mahathir Mohamad terus menuduh pentadbiran Najib Razak memperalatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyekat lawan politiknya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata mereka yang mengancam Barisan Nasional akan ditangkap dan dihadiahkan baju oren bertulis ‘lokap’, pemberita dijemput untuk ambil gambar dan akaun bank mereka dibeku.
“Sekali lagi beku akaun bank. Duit beku tidak boleh diguna untuk politik,” tulisnya di blog Chedet, hari ini.
“Terselamatlah penyangak Darul Penyangak,” tambah Dr Mahathir.
Bekas Presiden Umno yang kini mengetuai pembangkang itu sebelum ini beberapa kali menggelarkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai penyangak.
SPRM baru-baru ini menangkap Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal serta dua adiknya, bekas pegawai dan pemimpin lain dalam parti itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan yang disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, antara 2009 hingga 2015. Shafie adalah menterinya sepanjang tempoh itu.
Dr Mahathir sebelum ini mengkritik tindakan SPRM terhadap Shafie dan mempersoalkan kenapa sekarang, selepas Ahli Parlimen Semporna itu bukan lagi anggota kerajaan dan kini tidak sebulu dengan Najib.
Dalam tulisannya itu, Dr Mahathir sekali menuduh Lembaga Hasil Dalam Negeri menyerang syarikat yang disyaki membantu pembangkang.
Syarikat itu didakwa kononnya tidak bayar cukai dan sekiranya mereka bantah atau cabar di mahkamah, akaun bank mereka juga akan dibekukan.
“Syarikat tidak dapat berniaga. Nak bayar gaji pun tak boleh. Sudah tentu tak dapat bantu parti lawan. Yang akhir ini ialah tujuan utama,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir baru-baru ini berkata cita-cita akhirnya ialah menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran Najib dengan mengalahkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bekas perdana menteri itu dan pemimpin PH yang lain menyifatkan Malaysia sebuah negara kleptokrasi kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini disiasat di beberapa negara bersabit dakwaan pengubahan wang haram dan penyelewengan.