Deklarasi Rakyat sahkan tandatangan tulin, tolak dakwaan pemalsuan
Sekretariat Deklarasi Rakyat hari ini menafikan sekeras-kerasnya pernah berurusan dengan pengaturcara komputer bebas, Azharuddin Othman yang mendakwa dirinya telah menjual 900,000 nama daripada pangkalan data dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sekretariat itu juga menegaskan tidak pernah terlibat dalam urus niaga dengan Syarul Ema Rena Abu Samah, 26, yang menggunakan nama ‘Ratu Naga’ di laman sosial Facebook yang dikatakan terpalit sama dalam isu berkenaan.
Ketua sekretariat itu, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya telah mengambil langkah-langkah yang sewajar dan mencukupi untuk membuang tanda tangan ‘palsu’ sejak deklarasi tersebut dilancarkan.
“Sejumlah 1,071,997 tanda tangan atas talian yang disahkan dan terkini diterima. Kami turut menolak sejumlah 253,505 tanda tangan kerana berlakunya pertindihan dan ketidak lengkapan. Baki 200,000 dikumpul dalam bentuk kertas.
“Proses audit ke atas tanda tangan yang diterima dijalankan secara berterusan bagi memastikan integriti dan kesahihannya.
“Sekretariat percaya apa yang akhirnya diserahkan kepada Yang DiPertuan Agong adalah dokumen yang dipercayai dan bebanan tanggung jawab yang diserahkan oleh mereka yang menanda tangani dokumen itu,” jelasnya dalam kenyataan seperti dipetik Malaysiakini.
Minggu lalu, Azharudin mendakwa beliau ditipu dalam penjualan ratusan ribu nama untuk menipu tandatangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat.
Beliau mendakwa dihubungi oleh Ema yang menjanjikannya bayaran RM5,000 sebagai habuan.
Pangkalan data itu, katanya, adalah antara yang dibekalkan kepada semua parti-parti politik pada pilihan raya umum ke-13.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, gerakan itu sentiasa komited dengan perjuangannya untuk membawa mereka yang melakukan rasuah besar-besaran ke muka pengadilan.
“Usaha-usaha ini (dakwaan tanda tangan palsu) bertujuan memperkecilkan sokongan rakyat kepada Deklarasi Rakyat selain melawan mereka yang berjuang demi menjayakan agenda reformasi,” ujarnya.