SHAHBUDIN HUSSIN
Sudah
sah kini pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada 2016 ditangguhkan
selama 18 bulan bagi memberi laluan agar pilihanraya umum ke 14
diadakan terlebih dahulu.
Ini bermakna, pilihanraya umum dan pemilihan UMNO kemungkinannya akan diadakan pada tahun 2018 nanti.
Dengan
keputusan ini bermakna Najib terus mengulangi kebiasaan yang dilakukan
Tun Abdullah Badawi ketika menjadi Presiden UMNO yang sentiasa
menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihanraya diadakan kononnya untuk
mengurangkan perpecahan sesama ahli parti.
Najib
seolah-olah selesa dengan amalan tersebut dan tidak menunjukkan
keberanian walaupun sedikit pun untuk keluar daripada kepompong
tersebut.
Perdana
Menteri yang juga Presiden UMNO, Najib Razak mengumumkan perkara itu
selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO pada petang Jumaat.
Mengumumkan
bahawa penangguhan itu dilakukan berdasarkan Fasal 10.16 perlembagaan,
Najib juga berkata, ia bagi memberi peluang kepada UMNO untuk terus
berkhidmat kepada rakyat serta bertujuan mengukuhkan parti.
Secara
umumnya apabila UMNO kian lemah dengan pelbagai isu kebelakangan ini,
ramai yang mengharapkan agar pemilihan UMNO 2016 tidak ditangguhkan
kerana pemimpin-pemimpin baru yang berpotensi dijangka dapat ditampilkan
daripada proses pemilihan itu bagi menggantikan pemimpin sedia ada.
Ramai
yang percaya, melalui pemilihan parti yang mampu melahirkan
pemimpin-pemimpin baru itu, UMNO akan tampil dengan lebih segar dan
mantap menghadapi pilihanraya selepas itu.
Dalam
hal ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO,
Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita,
Pemuda dan Puteri pada tahun 2014 yang lalu turut menyuarakan perkara
yang sama demi kekukuhan dan masa depan yang lebih baik bagi parti.
Muhyiddin
juga menolak pemilihan UMNO sebelum pilihanraya umum akan menyumbang
kepada perpecahan kerana yakin ahli-ahli parti sudah cukup matang untuk
menghadapinya.
Tetapi
dengan Najib tetap menangguhkan pemilihan sehingga pilihanraya umum
diadakan, bukan saja peluang melahirkan bakat-bakat baru akan tersekat,
tetapi juga memberi isyarat bahawa pandangan Muhyiddin selaku orang
nombor dua dalam parti dan kerajaan hanya dipandang sepi saja.
Najib
ternyata tidak mahu menerima idea tersebut walaupun ia sebenarnya
dikongsi bersama di kalangan sebahagian besar ahli di peringkat akar
umbi.
Dengan
tetap mengadakan pilihanraya terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO, ia
hanya menunjukkan keinginan Najib untuk mengepung pimpinan UMNO sedia
ada dengan hanya mencalonkan mereka yang setia dan dipercayainya saja
sebagai calon dalam pilihanraya nanti.
Setelah
memilih mereka yang setia dan dipercayainya sebagai calon pilihanraya
dan bergelar YB kemudiannya, tentulah lebih mudah seseorang itu
memenangi atau mengekalkan jawatannya dalam UMNO selepas itu.
Secara
tidak langsung, sehingga tarikh pilihanraya umum akan datang, tidak ada
sesiapa daripada kalangan pemimpin UMNO atau mereka yang berhajat mahu
menjadi wakil rakyat yang berani menunjukkan penentangan mahu pun
berbeza pendirian dengan Najib.
Akhirnya,
lebih ramai yang memilih untuk menjadi "pak angguk" atau "yes man"
saja dengan harapan nama mereka tidak tercicir sebagai calon
pilihanraya, meski bagaimana sekali pun besar atau banyaknya isu yang
meresahkan rakyat sedang berlaku dalam negara.
Lebih
ketara nawaitu Najib itu ialah bila mana pengumuman penangguhan
pemilihan ini dilakukan teramat-amat awal iaitu dalam mesyuarat MT yang
diadakan pada hari ini.
Dengan
memperlekeh pandangan Muhyiddin agar pemilihan UMNO tidak ditangguhkan,
sebenarnya sudah dua kali Najib bersikap sama terhadap timbalannya
itu.
Dalam
video ucapan Muhyiddin di Janda Baik yang tersebar luas sebelum ini,
beliau turut mencadangkan kepada Najib agar memecat semua Ahli Lembaga
Pengarah 1MDB serta memberi laluan kepada pihak polis menjalankan
siasatan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak bersikap
melindungi sesiapa dalam isu yang meresahkan rakyat itu.
Tapi lihatlah apa sikap Najib terhadap pandangan Muhyiddin itu. Langsung tidak laku walau satu sen pun kepadanya.
Dengan ini, Muhyiddin seharusnya semakin menyedari siapa dirinya di sisi Najib sekarang ini. (SH 26/06/2015)