Anwar: Sia-sia pimpin negara jika gagal pertahan hak semua kaum
TEMOH 30 Jan: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tekad membela nasib rakyat dan menjamin hak semua bangsa dan agama.
“Saya tak layak jadi pemimpin negara kalau gagal tunjukkan kasih sayang dengan membela nasib Melayu dan pertahankan hak orang India, Cina, Dayak, Kadazan dan Dusun sebagai anak-anak saya dalam sebuah keluarga besar.
“Perampas kekayaan negara bukan orang Cina atau India bawahan tetapi sikap jelek pemimpin Umno BN yang serah tanah rizab Melayu, kontrak, balak dan projek kepada kroni dan anak beranak.
“Kemudian bila sedar kuasa hampir hilang, Umno BN main semula sentimen perkauman yang boleh tercetus huru hara seperti kita tengok dalam Perhimpunan Agung Umno mian sentimen lagu ‘Anak kecil main api’,” katanya pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Perak, Temoh Stesen, Tapah malam tadi.
“Kroni Mahathir bolot harta kekayaan melalui IPP (Projek Penjana Kuasa Bebas), minyak, saluran televisyen, tapi apa ahli Umno BN sebut? Hidup Melayu!” sambung Anwar.
Beliau membidas pemberian projek kerajaan yang dimonopoli Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang dilihat begitu berkuasa berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mana ada dalam dunia ini yang semuanya dibolot oleh seorang. Gula, beras, lapangan terbang, kereta api, IPP, pelabuhan, Puspakom dan banyak lagi dibolot dia sorang.
“Najib cukup takut dengan Mokhtar Bukhary. Dalam Parlimen pun takut sampai balik rumah pun takut,” sindirnya disambut tepukan dan ketawa hampir 5,000 hadirin.
Kata Anwar, beliau tidak takut berjuang untuk rakyat dan menjamin tiada sesen khazanah negara masuk ke dalam poketnya.
“Dulu saya difitnah ada wang RM3 bilion tapi bila dalam parlimen saya buka peluang kepada pemimpin Umno BN, tidak ada seorang berani bangkit.
“Waktu saya Menteri Kewangan dulu, Malaysia mampu bayar hutang awal (pre-payment) sebanyak RM12 bilion kerana kita ada pasukan yang hebat menjaga kewangan negara, ini bukan kerja saya seorang.
“Lepas dipenjara, hutang negara meningkat hingga zaman Najib perintah, hutang negara cecah RM540 bilion,” katanya.
Jelas Anwar, hutang negara zaman Tun Abdul Razak memang tinggi tetapi semuanya untuk kepentingan rakyat berbanding era Najib.
“Tun Razak dulu berhutang RM70 juta untuk bangunkan MARA, sekolah luar bandar, jalan raya dan tiada siapa yang marah kerana hasilnya nampak. Tetapi zaman Najib apa yang kita nampak?” ujarnya.
Anwar yakin perubahan politik akan berlaku dengan kemasukan bekas pegawai tertinggi tentera ke dalam Pakatan Rakyat dalam waktu terdekat.