ANWAR TAK PATUT MENGELAK DARIPADA MENJAWAB ISU KEJATUHAN NILAI RINGGIT


Ketika ditanya media pagi tadi mengenai kejatuhan nilai ringgit yang terus merudum, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim dilihat mengelak untuk memberikan jawapan.


Sebaliknya, beliau berkata, Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Abdul Ghaffour akan menjawabnya.


“(Mengenai prestasi) ringgit, Gabenor (Abdul Rasheed) ada di sini. Dia dah janji nak jawab,” kata Anwar ringkas.


Video berkaitan ada di sini – https://vt.tiktok.com/ZSFMk1JQb/


Setakat jam 9 pagi tadi, mata wang tempatan merekodkan prestasi makin melemah dengan ringgit berkurangan kepada 4.787/7930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.785/7890 semasa ditutup pada Isnin.


Sebagai Perdana Menteri dan merangkap pula Menteri Kewangan, apa lagi pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia suatu ketika dahulu, tindakan Anwar mengelak pertanyaan media berkaitan kejatuhan nilai ringgit agak sedikit mengecewakan.


Walaupun alasannya adalah Gabenor Bank Negara sudah berjanji akan memberi penjelasan, tetapi sebagai ketua kerajaan, beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskannya kepada rakyat.


Lagi pun, berbanding penjelasan Gabenor Bank Negara, jawapan daripada seorang Perdana Menteri tentulah lebih bernilai tinggi dan dinanti-nanti.


Lebih-lebih kerana sosok bernama Anwar itu seorang yang hebat tutur bicara dan pidatonya, maka pastilah butir-butir mutiara yang keluar daripada mulutnya mengenai kejatuhan nilai ringgit juga amat ditunggu-tunggu.


Lebih penting daripada segala-galanya, isu kejatuhan nilai ringgit juga sering dijadikan bahan untuk memperlekeh, menghentam dan merendah-rendahkan kerajaan ketika Anwar menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.


Setiap kali berlaku kejatuhan nilai ringgit, setiap kali itu jugalah kerajaan yang memerintah sering dipersalahkan.


Bahkan, dalam sebuah ucapan yang mana videonya kini bertebaran di media sosial, Anwar sendiri pernah mengungkapkan bahawa kejatuhan nilai ringgit ketika itu adalah disebabkan pemimpin yang mengetuai kerajaan tidak pandai mengurus negara.


Untuk itu, tentulah menarik untuk diketahui jawapan Anwar mengenai sebab-sebab kejatuhan nilai ringgit sekarang ini.


Maka – sekali lagi ditekankan – memang tidak patut Anwar bertindak mengelak daripada menjawab dan menjelaskan kepada rakyat berkaitan kejatuhan nilai ringgit yang berlaku ketika ini.


Beliau tidak harus mengelak dan lari daripada berdepan realiti.


Selain itu, perbuatan mengelak itu bukan saja boleh menyebabkan rakyat biasa hilang keyakinan terhadap kemampuannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, malah dibimbangi akan membuatkan penyokong beliau sendiri mulai berbelah-bahagi terhadapnya.


Apa pun alasannya, Anwar tidak harus mengelak daripada menuturkan bicaranya dalam isu jatuhnya ringgit ini.


Akhirnya apa yang amat-amat diharapkan, moga ini adalah kali terakhir kita melihat Anwar mengelak daripada menjawab pertanyaan media, terutamanya bila ditanya tentang jatuhnya nilai ringgit kita. – ShahbudinHusin 20/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/20/anwar-tak-patut-mengelak-daripada-menjawab-tentang-kejatuhan-ringgit.html



No comments: