Oleh: Noraini Nordin
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu menyifatkan keceluparan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersenda dan mempertikai kebijaksanaan Sultan Selangor dalam melantik Menteri Besar adalah suatu perbuatan yang sangat melampau.
Katanya, perbuatan itu wajar diambil tindakan oleh pihak berkuasa supaya menjadi pengajaran kepada semua orang.
Dalam hal ini, tambah beliau peringatan sudah banyak kali diberikan, termasuk oleh pihak polis agar isu-isu berkaitan 3R (Raja, Kaum dan Agama) tidak disentuh dalam kempen pilihanraya atau di pentas-pentas politik.
"Dengan Sanusi sengaja berbuat demikian, ia seolah-olah beliau mencabar undang-undang negara. Dia langgar Rukun Negara ” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui dalam Majlis Suai Kenal dan Minum Petang jentera Perpaduan di Sungai Petani Kedah pada Jumaat.
Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengingatkan, perlantikan Menteri Besar di mana-mana negeri adalah hak dan kebijaksanaan Sultan di negeri berkenaan.
"‘Mempertikai Amiruddin Shari sebagai Menteri Besar yang kononnya “cokia” dengan sendirinya memberi maksud lantikan oleh Sultan itu sebagai tidak tepat dan tidak bijaksana.
"Bukankah perbuatan itu suatu keceluparan yang melampau terhadap Sultan yang berdaulat?" soal beliau.
Dalam konteks berkaitan, Aiman Athirah turut meminta pengundi Kedah yang secara umumnya baik dan berbudi bahasa agar menilai perwatakan Sanusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
"Pengundi Kedah patut berasa malu dan menghukum Sanusi kerana telah memalukan rakyat negeri itu," kata beliau lagi.
Secara umumnya juga, tegas Aiman, pengundi harus menolak PN di keenam-enam negeri yang bakal melaksanakan PRN kerana memberi undi kepada gabungan itu sama ertinya bersetuju dengan perbuatan Sanusi yang menghina Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu.
PN melalui perbuatan Sanusi itu katanya, bukan saja memecah-belahkan rakyat malah bersikap biadap mengadu-domba sultan-sultan dan hal itu bertentangan sama sekali dengan kewajipan menzahirkan kesopanan dan kesusilaan sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara.
Sanusi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PN dalam ceramah politik baru-baru ini telah membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor yang dilabelnya “cokia” (tiada kualiti).
Katanya: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk kepada dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia (lekeh) macam Amir (Amirudin Shari).
Berikutan ucapan yang dianggap menghina Sultan Selangor itu, sekurang-kurangnya 31 laporan polis telah dibuat setakat ini terhadap Sanusi yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain pula berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap Sanusi.
Beliau berkata, kes melibatkan 3R itu boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Di waktu yang sama, pelbagai pihak lain juga menuntut agar Sanusi memohon maaf terhadap Sultan Selangor atas keceluparannya itu.