Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim
atas keprihatinan terhadap kebajikan golongan pesara kerajaan.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ketika mengulas keputusan
kerajaan berkait isu pencen berkata langkah diumumkan Anwar akan memanfaatkan
kira-kira 720,000 pesara kerajaan.
Merujuk kepada pemberian bantuan khas yang dinamakan sebagai
Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), Adnan berkata ia adalah langkah tepat
bagi membantu golongan pesara yang terkesan dengan kos sara hidup semasa.
"PKKP yang diumumkan kerajaan membawa maksud bahawa bayaran
kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus yang dinikmati sebelum ini
dikekalkan. Ini adalah wajar memandangkan pencen golongan pesara tidak tinggi.
"Kita berharap bayaran dua peratus itu terus dikekalkan
sehingga pelarasan gaji dilakukan. Apabila pelarasan dibuat, sekiranya kenaikan
pencen pesara di bawah dua peratus, diharap kerajaan dapat mengekalkannya
manakala jika melebihi dua peratus, kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan
yang lebih tinggi," katanya dipetik.
Pada Rabu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya
pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar
menggunakan amaun pencen asal.
Keputusan itu jelasnya selaras dengan keputusan Mahkamah
Persekutuan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013
adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan
sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.
"Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus
dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai PKKP bagi menjadikan
amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun
pencen pada Jun 2023," kata Anwar Rabu lalu.
Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan
undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baharu dan melaraskan
bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang
menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.