RAGHAD DAKWA DIHALANG MASUK KEDIAMAN.




PETALING JAYA: Raghad Kurdi, isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis selepas mendakwa dihalang daripada memasuki kediamannya di Kuching oleh pengawal pada minggu lalu.



Dalam satu hantaran di Instagram, Raghad memberitahu beliau ke Kuching bagi melawat pusara Taib serta menyampaikan sedekah jariah bagi pihak suaminya yang meninggal dunia pada 21 Feb lalu.


Bagaimanapun, setibanya di kediaman tersebut, pengawal bertugas memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan beliau masuk.

“Kami dihalang ketika sampai di pintu pagar dan pengawal memberitahu saya mereka tidak mempunyai kebenaran untuk membenarkan saya masuk.


“Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati membenarkan saya masuk. Allah akan sentiasa melindungi dan membela mereka yang dizalimi,” katanya.


Bagaimanapun, Raghad mendakwa, pengawal itu terpaksa membayar harga yang mahal kerana membenarkan beliau masuk ke rumah apabila dia dibuang kerja.

Dalam hantaran itu, Raghad turut berkongsi beberapa gambar beliau berada di pintu pagar kediamannya bersama pengawal keselamatan dan ketika melawat pusara Taib.


Susulan kejadian itu, Raghad berkata beliau membuat laporan polis termasuk permohonan yang perlu di mahkamah.


“Saya lakukan semua ini dengan berat hati, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Beliau (Taib) suami saya, tapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan dilakukan terhadap saya dan menuntut keadilan.


“Saya tahu saya tidak pernah berkongsi cerita saya sebelum ini, tetapi sudah tiba masanya untuk berbuat demikian,” katanya.

Taib meninggal dunia pada jam 4.40 pagi 21 Feb lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.


Beliau diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 10 Feb lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut, selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya.



No comments: