Underweight, Neutral, Overweight ni bukan pasal berat badan manusia 🤗


Nik Hasyudeen



Apabila JP Morgan menukar pandangan mereka ke atas pasaran ekuiti Malaysia dari underweight kepada neutral, saya mendapati ramai juga netizen yang bertanya dan mengulasnya. Malah, ada yang ingat inilah masa untuk menjual saham-saham kerana dia kata “buy low, sell high”.


Jadi saya terpanggil untuk menerangkan apa benda neutral, undedweight dan overweight dari perspektif seni balairong pelaburan global.


Seperti rumah-rumah pelaburan global lain, JP Morgan melabur di seluruh dunia. Ini bermakna ia kena menetapkan banyak mana pelaburan yang mereka nak buat di setiap pasaran, biasanya dinyatakan sebagai nisbah (%) dari keseluruhan saiz potfolio mereka.


Tentunya di antara perkara yang mereka nilai ialah prospek membuat keuntungan di dalam setiap pasaran. Di manakah Alpha? Alpha ialah sasaran pulangan yang melebihi pulangan pasaran, bukan beruk jantan yang dikatakan Alpha tu.


Selepas melabur, mereka akan terus membaca arah aliran pasaran. Jika mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa, mereka akan kata kedudukan mereka “neutral”.


Jika di dalam jangkaan mereka pasaran akan menjana keuntungan yang lebih tinggi, mereka mungkin mahu menambah nisbah pelaburan di dalam pasaran berkenaan. Inilah yang dikatakan “overweight”. Peratusannya lebih tinggi dari nisbah asal.


Sebaliknya “underweight” pula ialah apabila mereka nak kurangkan nisbah pelaburan mereka di dalam mana-mana pasaran kerana prospeknya mungkin tidak memerangsangkan.


Rumusannya, underweight, neutral dan overweight ini ialah perubahan nisbah pelaburan di mana-mana pasaran relatif kepada nisbah pelaburan di ketika itu.


Sebenarnya nisbah pelaburan rumah-rumah pelaburan global ke dalam pasaran seperti Malaysia tidaklah besar mana pun berbanding dengan keseluruhan pasaran global. Di antara sebabnya ialah kita masih di dalam kategori “emerging market” dan jumlah “free float” (saham yang boleh dijual beli tanpa halangan) kita rendah sebab pelabur seperti KWSP dan PNB memegang banyak kaunter besar sebagai pelaburan strategik yang jarang dijual beli.


Indeks pasaran saham global yang biasanya menjadi rujukan ialah MSCI. Malaysia dimasukkan ke dalam ketegori Emerging Market. Pada 31 Mei 2024, hanya ada 32 kaunter di Bursa Malaysia di dalam indeks ini dan merupakan hanya 1.39% dari indeks berkenaan.


Jadi, jika pelabur global nak tambah pelaburan di negara kita pun, hanya kaunter-kaunter ini yang akan mendapat manfaat dan jumlahnya juga terhad. Walau bagaimana pun sentimen pasaran akan bertambah baik dengan pertambahan pelaburan luar.


Apa yang penting di dalam dunia pelaburan potfolio ialah prospek dan sentimen. Dengan pengumuman JP Morgan ini, tentunya banyak lagi pelabur lain yang akan menilai semula bacaan mereka ke atas prospek negara. Inilah sebabnya nak tarik perhatian mereka kena ada formula dan formula itu dilaksanakan.



No comments: