Zainuddin Hj Omar
Baru-baru ini bekas pembantu rumah kami yang berasal dari Aceh dan pernah bekerja dengan kami selama 10 tahun pada tahun 80’an datang berkunjung dan melancong ke Malaysia.
Beliau sekarang sudah menjadi hartawan di sana kerana memiliki berpuluh ekar tanah kelapa sawit.
Semasa bekerja dengan kami setiap gaji bulanan yang diterima akan dihantar balik ke Aceh untuk membeli tanah gersang berharga murah.
Tanah-tanah diusahakan dengan mengupah pekerja kampung untuk menanam kelapa sawit.
Sekarang ini ladang sawit beliau telah mengeluarkan hasil bersih lebih kurang Rp 10 juta setiap bulan.
Pendapatan Rp 10 juta (RM3000) setiap bulan adalah amaun yang sangat selesa untuk hidup di Aceh.
Daripada seorang pembantu rumah yang daif dan tidak berpelajaran kini beliau seorang hartawan yang hidup selesa kerana mempunyai wawasan dan pelan kewangan yang jitu.
Ayah saya bersara dengan dengan mendapat pencen RM1000 sebulan. Beliau mengusahakan kebun pisang di belakang rumah dan ianya satu kerja yang sangat 'back breaking'.
"Abah, apa kata kita tanam kelapa sawit kerana pendapatanya konsisten' saya nasihat abah pada satu hari.
Beliau bersetuju dan dengan kerjasama penanam tebu selama 3 tahun, anak sawit ditanam di belakang rumah.
Alhamdulillah setelah 3 tahun, sawit telah mendatangkan hasil secara konsisten setiap bulan tanpa perlu abah membanting tulang kerana diusahakan bersama dengan kontraktor sawit secara 50:50.
Kehidupan ayah lebih selesa sehingga beliau menolak BRIM dan mengatakan ia bukan haknya.
Rakan-rakan,
Jika anda masih mempunyai 10 atau 15 tahun masa sebelum bersara, sekaranglah masanya untuk merancang kehidupan selesa jika tidak bekerja nanti.
Jangan terlalu mengharapkan duit pencen bulanan yang hanya 60% dari gaji sekarang atau duit EPF yang akan licin selepas 5 tahun bersara.
Rancanglah agar ada passive income atau sumber pendapatan alternatif selepas bersara nanti.
Ramai dari kita mempunyai tanah di kampung yang terbiar.
Saya cadangkan agar tanah tersebut diusahakan sekarang agar boleh memberi pendapatan bulanan semasa bersara nanti.
Anda tak perlu modal besar hanya perlu istiqama mengusahakan kebun sedikit demi sedikit semasa kederat masih ada.
1. Tanaman durian.
Saya telah hadir banyak kursus anjuran FAMA dan Jabatan Pertanian mengenai tanaman durian dan boleh nampak potensi masa depan industri tanaman durian terutama Musang King (MK).
Ramai entrepreneur dari China telah mula invest bersama rakan kongsi orang Malaysia untuk menanam beribu ekar ladang MK di Malaysia, terutamanya di Gua Musang.
Ketika ini orang cina di China sudah mula ‘gila’ dengan durian MK walaupun harganya Rm188 sekilo.
Ya, RM188 sekilo.
Di Guangzhou sahaja terdapat 30 juta peminat MK dan ianya sudah mula merebak ke wilayah lain di negara China.
Bayangkan, 1 billion rakyat China yang gila durian MK kita. Memang ianya akan menjadi pelaburan yang sangat menguntungkan nanti.
Orang melayu yang ‘skeptikal’ selalu bertanya apakah harga MK dapat bertahan apabila banyak estate MK mula mengeluarkan buah?
Rakan Cina ramai sudah mengorak langkah menanam MK walhal bani Melayu masih lena dan tertanya-tanya apa jadi bila MK sudah melambak nanti, walhal cangkul masih belum dipegang lagi.
Dengan permintaan tinggi dari Negeri China dan juga lokal, harga MK masih bertahan RM30 sekilo di dusun semenjak 5 tahun dahulu.
Research yang dibuat oleh FAMA menjangka permintaan MK akan meningkat setiap tahun.
Anda tak perlu mempunyai tanah puluhan ekar untuk bermula penanaman MK ini.
Cukup sekadar menanam 5 batang sebagai permulaan, atau pun bermula dengan suku ekar.
Semasa kursus kami diberitahu bahawa seorang penanam yang mempunyai 5 batang MK beroleh pendapatan Rm75k pada satu musim.
Jika anda mula sekarang, semasa bersara nanti anda hanya perlu ‘menuai’ hasil MK sebagai hobi sahaja.
Jika anda ingin bermula dengan penanaman MK dari anak, banyak ilmu perlu di pelajari dari segi pengairan, baja, penjagaan pokok dari penyakit dan lain-lain.
Semuanya boleh dipelajari dari kursus kursus yang dianjurkan oleh FAMA marketing, Mardi dan Jabatan Pertanian.
MK yang ditanam dari anak akan mula berbunga pada usia 5 tahun dan berbuah sepenuhnya pada usia 7 tahun hingga 10 tahun.
Imagin, apabila anda bersara pada umur 55 atau 60, sudah tersedia banyak pokok MK yang mendatangkan hasil lumayan.
Tanaman MK memerlukan pengawasan yang rapi dan jika anda ‘malas’ boleh tanam anak durian Tekka atau IOI yang tidak perlu penjagaan rapi seperti MK.
2. Tanaman kelapa sawit.
Kelapa sawit adalah pokok yang mudah untuk dijaga. Selepas 3 tahun ianya sudah mula berbuah dan pada usia 5 tahun, ianya mengeluarkan hasil yang konsisten.
Seekar ladang sawit boleh menghasilkan pendapatan bersih antara RM300 hingga RM500 sebulan setelah ditolak upah, baja dan racun rumpai.
Harga sawit adalah 'cyclical' dan sekarang pekebun kecil ladang sawit semua tersenyum lebar kerana satu ekar ladang sawit boleh mendatangkan pendapatan lebih RM1000 sebulan.
Amma ba’du.
Anda mungkin beranggapan tarikh bersara masih jauh lagi tetapi percayalah tarikh tersebut tidak sejauh mana.
Pejam celik pejam celik ianya menjelma dengan sekelip mata sahaja.
Tulisan ini bertujuan untuk anda membuka mata dan melaksanakan perancangan kewangan agar bersara dengan bergaya.
Don’t just dream, DO IT NOW!!
Wallahua’llam.
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
FB: zainuddin omar
Sila like and share tetapi saya tidak halalkan untuk C&P artikel ini. Maaf terpaksa buat begini kerana ramai tak beretika C&P artikel untuk tambah engagement FB mereka tanpa segan silu.