HORMATI RAJA SEBAGAI INSTITUSI PAYUNG KEPADA KITA



Perbuatan tidak menadah tangan ketika bacaan doa dibacakan untuk Yang di-Pertuan Agong dan keluarga diraja semasa khutbah solat Jumaat adalah tindakan yang tidak wajar sama sekali dilakukan.


Lebih tidak wajar jika perbuatan itu dihebahkan kepada umum seolah-olah kita bangga melakukannya.


Apa pun perasaan kita kepada Raja atau Sultan, sesuatu yang kita harus sedar ialah institusi diraja itu penting kepada kita sebagai rakyat di negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan ini.


Institusi diraja bukan saja merupakan ketua negara atau negeri, bahkan ia juga merupakan ketua dalam hal ehwal agama Islam.


Dalam banyak perkara seperti hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, institusi itulah pelindung dan benteng terakhirnya.


Dengan ada sembilan Raja-Raja Melayu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja, kita sepatutnya bangga kerana pelindung atau benteng yang melindungi kita itu sangat kebal dan kukuh.


Selagi institusi diraja itu kekal, tidak mudah untuk sesiapa pun menggugat apa yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.


Sebab itu, sebagai rakyat, kita mesti menghormati institusi diraja selagi ia kekal diletakkan sebagai payung untuk melindungi kita di dalam perlembagaan negara.


Sejak dulu kalau berbual-bual dengan rakan yang sama-sama suka mengkritik, saya selalu berkata kepada mereka agar jangan keterlaluan mengkritik Raja sebagaimana kerasnya mereka mengkritik Perdana Menteri atau menteri-menteri.


Selain Raja perlu dihormati atas kedudukan mereka, Raja atau Sultan juga tidak boleh dijatuhkan sebagaimana Perdana atau menteri mungkin boleh jatuh dan hilang jawatan kerana krtikan yang berterusan.


Menadah tangan atau mengaminkan doa terhadap Agong atau Raja adalah tanda kita menghormati institusi diraja dengan berharap kepada Tuhan agar institusi itu kekal memberi kebaikan kepada kita.


Dalam hal ini, selain perbuatan menadah tangan itu bukan suatu kesalahan, malah juga memperlihatkan sikap mulia kita sebagai umat Islam dengan meletakkan pengharapan terakhir kepada Tuhan yang Maha Esa dalam melindungi kedudukan institusi diraja itu.


Tidak menadah tangan atau enggan mengaminkan doa, kemudian bangga pula menghebahkannya secara terbuka, di samping menunjukkan kebiadapan, ia juga boleh dikira menghina dan menghasut.


Ia mungkin tidak menjadi kesalahan jika perbuatan itu dilakukan secara sendirian dan diam-diam, namun menghebahkan perlakuan tidak wajar itu jelas memperlihatkan wujud ciri-ciri penghasutan.


Oleh kerana laporan polis telah dibuat, terserahlah kepada pihak berkuasa melakukan tindakan seterusnya.


Tetapi berikutan pelakunya sendiri sudah memohon maaf atas perbuatannya, ini dengan sendirinya menunjukkan beliau sedar tentang kesilapan yang telah dilakukannya.


Jika yakin tindakannya itu betul, kenapa beliau tidak terus mempertahankan saja perlakuannya itu?


Maka, di sini pihak berkuasa sudah ada asas untuk bertindak sewajarnya terhadap pelaku tersebut supaya di lain masa tiada lagi kebiadapan dan cubaan menghasut seperti ini terus dilakukan. – ShahbudinHusin 15/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/15/hormati-raja-sebagai-payung-kepada-kita.html