SIASATAN POLIS TERHADAP GUAN ENG BUKTI KERAJAAN TIDAK BERSIKAP PILIH BULU

 

Berikutan adanya beberapa laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng atas kenyataannya yang mengaitkan gelombang hijau dengan perobohan tokong, pihak polis telah memulakan siasatan terhadap beliau.

Kenyataan Guan Eng itu dianggap menyentuh isu 3R – Raja, Agama serta Kaum – yang mana kerajaan dan polis telah berkali-kali mengingatkan pemimpin-pemimpin politik agar tidak bercakap mengenainya, khusus menjelang PRN pada 12 Ogos depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, G Suresh Kumar berkata, Ahli Parlimen Bagan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen 4 (1) Akta Hasutan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tambah beliau, Guan Eng juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain pula berkata, polis akan memanggil Guan Eng dalam masa terdekat ini berhubung ucapannya yang menyentuh isu 3R itu.

Video Player
00:00
00:16

Selepas ucapan itu menjadi kontroversi, Guan Eng kemudian tampil menafikan pernah menuduh PN dan gelombang hijau bakal merobohkan tokong di Pulau Pinang jika gabungan itu memenangi PRN akan datang.

Sebaliknya, beliau berkata, ucapannya dalam bahasa Mandarin telah diputarbelitkan secara tidak bertanggungjawab yang menggambarkan seolah-olah beliau membakar sentimen perkauman agama dan kaum di negara ini.


Apa pun, dengan tindakan pantas pihak polis mengumumkan kertas siasatan telah dibuka terhadap Guan Eng, ini adalah petunjuk bahawa kerajaan perpaduan bersikap adil dan tidak memilih bulu dalam tindakannya.

Kini terserah kepada pihak polis menjalankan siasatan dan jika ada kes, ia pasti akan disusuli dengan pendakwaan di mahkamah.

Pihak-pihak lain, baik dalam kerajaan atau blok pembangkang, mulai saat ini hendaklah sentiasa berwaspada berkenaan ucapan atau kenyataan yang mereka keluarkan sepanjang kempen PRN ini agar tidak terbabas menyentuh isu 3R secara tidak bertanggungjawab.

Dengan apa yang diperlihatkan kepada Guan Eng, sesiapa juga tidak akan terlepas daripada tindakan kerajaan.

Jika kita teliti sejak awal, menyentuh isu 3R juga pernah diberi amaran oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar tidak sesiapa menyentuhnya sehingga boleh mencetuskan huru-hara atau berdepan tindakan tegas atau penangkapan daripada kerajaan.

Kini, kerajaan felah mula membuktikan kata-kata tersebut. – ShahbudinHusin 10/07/2023.



No comments: