Malam tadi turun ke Bandar Baru Bangi bagi bersama dalam majlis Jelajah Perpaduan Madani. Saya diapit Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, selain beberapa menteri kabinet dan pimpinan negeri.
Saya sentuh beberapa perkara. Antaranya, saya turut mempersoalkan naratif yang cuba dilemparkan ke arah Kerajaan Perpaduan setakat ini. Sehingga kini belum ada kritikan yang bernas dan membina dari pihak sana.
Serangan demi serangan hampir setiap hari hanya berbentuk adu domba dan fitnah yang diulang-ulang, dan ini tidak mengejutkan tatkala rakyat dan negara telah saksikan dalam beberapa siri sidang Parlimen yang lalu betapa kontang dan lemahnya isu yang cuba dibawa oleh pembangkang.
Saya turut menggunakan pentas semalam untuk menjelaskan mengenai keputusan atau langkah kerajaan mengenai Felda dan nasib peneroka, selain mencerakinkan usaha kerajaan dalam meningkatkan pelaburan, meredakan kadar inflasi ke 2.8%, dan melonjak pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2023 melebihi negara tetangga di rantau ini.
Rakyat dan negara ini perlukan kestabilan, dan kestabilan penting untuk kita paculkan sebuah tatanan contoh yang kuat ekonominya dan rakyatnya yang bersatu padu yang tidak dipecahkan dengan adu domba perkauman dan agama.
Kestabilan tidak mungkin kita terjemahkan dengan baik sekiranya setiap minggu, setiap bulan rakyat dihidangkan dengan cerita gerakan dalam gelap untuk menumbangkan kerajaan.
Sekiranya berani dan benar “dah cukup jumlah”, gunakan saluran yang betul dan demokratik melalui Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen dan kerajaan bersedia berdepan dengannya.
Dalam majlis yang sama, pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah menzahirkan hasrat untuk berpadu pada pilihanraya negeri akan datang dengan semangat persahabatan dan perpaduan yang tinggi bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat membentuk kerajaan-kerajaan negeri pada 12 Ogos kelak, insya-Allah.
#MalaysiaMADANI #Perpaduan #PHBN