'Jika Lapangan Terbang KXP berdaya maju saya boleh luluskan' - Rafizi


 Kerajaan Negeri Kedah digesa memberikan dokumen menyeluruh mengenai pembiayaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dikatakan mahu dibina oleh sektor swasta di negeri itu kepada Kementerian Ekonomi.


Hal itu dinyatakan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dalam sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK 12 di Royal Kedah Club, Alor Setar semalam.


Rafizi yang menjawab soalan seorang hadirin yang mahu dikenali sebagai Prof Mukaramah dari Universiti Utara Malaysia berkata tanpa kajian menyeluruh daripada segi pembiayaan, beliau khuatir kerajaan akan terpaksa menyelamatkan projek berkenaan satu waktu kelak.


"Kalau ada pihak swasta yang boleh buat sesuatu (projek) dan dia berdaya maju dari segi kewangan, seronok kita jadi kerajaan.


"Tetapi selalunya pengalaman saya dan perlu teliti betul betul termasuk oleh Kerajaan Negeri dan kerajaan pusat, bukan sahaja KXP tetapi apa pun projek insfrastruktur ialah sektor swasta apabila dia mulakan (projek), dia kata pembiayaan persendirian (modal dari syarikat) tetapi mereka sebenarnya tidak mempunyai kewangan sendiri.


"Bila nak buat projek (bernilai) RM2 - RM3 bilion, dia tak ada banyak itu. Dia perlu kelulusan Kerajaan Negeri, pusat dan ambil surat itu pergi pinjam dengan bank


"Masalahnya, projek itu jadi insfrastruktur awam lepas syarikat siapkan, pengoperasiannya akan menjadi tanggungjawab awam.


"Takkanlah bila dah buat lapangan terbang atau port besar, dia mati terbengkalai, kita kerajaan tengok begitu sahaja. Tak boleh," katanya.


Rafizi memberi contoh jelas berkenaan cadangan awal pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1990an lalu sebagai strategi menyaingi Lapangan Terbang Changi di Singapura.


Namun, katanya selepas 20 tahun hal itu tidak berlaku dan kerajaan terpaksa menurunkan dana bagi membiayai kos tertentu pengoperasian KLIA.


"Kebimbangan saya ialah saya mahu tahu KXP full details. Saya perlu buat kajian mendalam aspek kewangan projek. Saya nak lihat bagaimana mereka (pendana) nak hasilkan duit.


"Dia kata persendirian tetapi dia perlu dapatkan komitmen Kerajaan Negeri untuk dapatkan pinjaman. Jadi bila (saya) dapat keputusan itu, ringgit dan sen, apa Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu commit. Jadi proses itu penting.


"Saya boleh beritahu, kalau dari segi kewangan berdaya maju, saya boleh luluskan. Saya lebih dari gembira untuk melihat dia berjalan. Tetapi perlu yakinkan saya ringgit dan sen. Sebab saya ada pengalaman projek (mega) yang akhirnya jadi gajah putih


"Ini bukan sahaja KXP tetapi apa sahaja mega projek yang dibuat perlu melalui due diligence yang terperinci supaya tidak menjadi beban kepada Kerajaan Negeri dan pusat," katanya.


Dalam pada itu, Rafizi menolak spekulasi menyatakan Kerajaan Perpaduan cuba menghentikan projek KXP atau melambatkannya kerana berada di negeri pembangkang.


Katanya, Kerajaan mengalu alukan sekiranya terdapat sektor swasta yang mahu membangunkan projek mega dengan dana mereka sendiri.


"Tidak ada siapa yang boleh hentikan projek sektor swasta yang ada due diligence yang bagus.


"Jadi teruskan proses (KXP) sehingga ke Unit Perancang Ekonomi (EPU). Selalunya kertas akhir itu sebelum kabinet akan sampai ke Kementerian Ekonomi dan Kewangan. Tetapi sebelum itu dia pergi ke Kementerian Pengangkutan dan sebagainya," kata Rafizi lagi.





No comments: