Tidak sesuai dengan semangat Madani, janganlah ini yang terlintas di fikiran rakyat

 



Oleh FATHI ARIS OMAR



Niat menggantung lesen radio Era FM susulan gelagat tiga pengacaranya tidak sesuai dengan semangat madani (civil) yang kita hasratkan.

Undang-undang warisan semangat zaman lama seharusnya sudah dibiar berlalu pergi. Sudah tidak sesuai dan, malah, sangat berlebihan.


Kita tidak suka tindakan rakyat, pengkritik atau pembangkang yang berlebih-lebihan atau ekstrem.

Tapi menggantung lesen radio, menggantung permit penerbitan dan menggantung (menutup akses ke pautan) portal juga tindakan ekstrem.

Dua atau tiga pengacara, dua atau tiga laporan media, dua atau tiga orang wartawan dilihat bermasalah tetapi seluruh operasi mahu dihukum.


Sudah kerap penindasan atau kezaliman ditimpa ke atas media pada masa lalu atas semangat, cara bertindak dan undang-undang seumpama ini.

Ambil contoh akhbar harian dan mingguan niaga The Edge yang digantung penerbitan pada 2015 kerana liputan skandal 1MDB. Alasannya apa? **

Laporan akhbar itu didakwa boleh memudaratkan negara! KDN berhujah “hasil penyiarannya [The Edge] mengandungi penerbitan yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan ketenteraman atau kepentingan awam, kepentingan negara serta keselamatan.”

Awal tahun berikutnya portal The Malaysian Insider turut digantung, sekali lagi berkaitan kes 1MDB yang dikaitkan dengan perdana menteri waktu itu DS Najib Razak.


Sebelumnya, 2013, mingguan baru setahun jagung The Heat digantung permit selepas membuat liputan perbelanjaan keluarga Najib, liputan hasil perbahasan di Parlimen dan juga yang sudah dilapor oleh beberapa portal.

Bayangkan berapa ramai kakitangan yang tidak bersalah turut terjejas akibat operasi tergendala susulan penggantungan tersebut. Berapa ramai?

Puluhan kakitangan, sidang pengarang hingga ke kerani, tidak menentu masa depan nafkah hidup mereka semata-mata sikap pemimpin kerajaan yang menyampah pada laporan tertentu itu.

Kritikan saya tidaklah bermakna media boleh bebas sebebas-bebasnya. Semua kebebasan datang bersama etika kewartawanan dan tanggungjawab hidup bersama. Semua ini asas demokrasi dan hak.

Media boleh ditegur, boleh dikecam dan malah boleh dipulau oleh pembaca dan masyarakat. Jika pembaca tidak berpuas hati, mereka tidak perlu melayan media seumpama itu.

Tetapi tiada hak pencabulan datang daripada kerajaan seumpama kes radio Era FM, The Edge, The Heat dan juga The Malaysian Insider. Tiada!

Tiada hak menghalang media melapor hal-hal lain, tiada hak menyekat kehadiran ke sidang media pemimpin kerajaan, tiada hak mengganggu kerja wartawan dan tiada hak menyerang wartawan.

Isu sebenarnya kandungan, laporan, berita, maklumat, grafik, video atau foto yang dipermasalahkan itu. Bukan operasi media atau syarikat penerbitan.


Misalnya, pihak berkuasa melarang lima atau 10 buah buku, tiada hak untuk menutup kedai buku atau menghenti operasi syarikat penerbitan. Malah, tiada hak mengganggu syarikat percetakan.

Saya selalu bertegas dalam hal ini bukan kerana saya wartawan atau mangsa tindakan ini kenalan saya. Tetapi kerana kita rasa tidak adil terhadap media yang menyuarakan pandangan berbeza.

Sepanjang 25 tahun lepas, sudah terlalu lazim rejim kawalan media ini (yakni cara berfikir penguatkuasa) bersifat berat sebelah dan menindas.

Majalah isu semasa Detik sempat hidup setahun sepanjang 1999. Sambutan pembacanya hangat. Puluhan ribu dicetak pada zaman bergelora itu.

Begitu juga mingguan Eksklusif, juga sempat bernafas setahun walau puluhan ribu naskhah dicari pembaca. Begitu juga majalah Wasilah.

Semua ini diharamkan (istilah sopan: permit penerbitan tahunan tidak diperbaharui) kerana laporan itu tidak disenangi pemimpin kerajaan.

Lebih jahat lagi, bukan kerana isi kandungan rencana, kolum atau berita itu bermasalah. Atau melanggar undang-undang. Tidak!

Tetapi kerana pihak berkuasa tidak senang pada pendirian wartawan, cara liputannya dan penerbitan itu. Mereka rasa rimas macam telinga dihurung nyamuk. Fikir mereka: Media reports are annoying!

Tindakan mengacau permit termasuk Harakah (dahulu) atau Tamadun semata-mata dibuat atas pertimbangan meluat atau tidak parti dan pemimpin kerajaan. Itu sahaja, bukan content.

Kita pula berhujah soal isi kandungan sama ada benar-benar bawa mudarat, sama ada ia merosakkan masyarakat atau kritikan pada kuasa.

Cara mundur

Baru-baru ini, saya hadir satu sesi libat urus (SLU) pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Ketara sekali cara berfikir birokrat penguatkuasa masih cara lama, cara yang kita anggap mundur.

Apakah cara mundur itu? Caranya, mengawal media berkala (periodical) melalui permit penerbitan. Kini tidak lagi perlu diperbaharui tetapi (jika pindaan dilulus nanti) perlu diperbaharui setiap tiga tahun!

Tafsir penerbitan pula mahu diluaskan ke dunia digital seluruhnya. Mujur belum dibentang di Dewan Rakyat setelah didesak kumpulan wartawan.

Saya berhujah, permit ini kawalan yang tidak perlu sebab selama ini ia dijadikan alat diskriminasi. Kerajaan suka, dapat permit. Kerajaan meluat, permit yang sudah diberi boleh dibatalkan.

Lihat operasi portal berita yang tidak perlu permit penerbitan. Ia mendaftar URL tanpa diskriminasi. Portal boleh daftar syarikat tanpa diskriminasi. Ia buka akaun bank tanpa diskriminasi apa-apa!

Adakah kerajaan tidak boleh kawal portal? Boleh! Ia boleh disiasat, boleh disaman, boleh diheret ke mahkamah dan boleh diprotes di depan pejabatnya. Membuktikan permit penerbitan tidak relevan lagi.

Apa yang pernah berlaku pada portal Malaysiakini jelas membuktikan permit penerbitan sejenis pilih kasih mengikut selera dan nafsu kerajaan.

Pemiliknya, syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, memohon permit akhbar pada 2010 tetapi KDN menolak. Kemudian, ia menyaman KDN pada 2010 dan menang kes mahkamah pada 2012. ***

Tetapi KDN tetap tidak beri permit akhbar sampai sudah. Hinggalah akhbar cetak sudah tidak relevan!

Satu lagi diskriminasi. Malaysiakini mahu memohon kad perakuan media sejak awal 2001.

Permohonan kad ini ditolak atas alasan portal ini tidak mempunyai lesen penerbitan. Padahal lesen tidak diperlukan untuk akhbar dalam talian.

Hanya pada Julai 2008, kad media dalam talian ini diserah kepada portal tersebut. Tujuh tahun tunggu.

Sebab itu, ringkas cerita, pindaan akta berhubung media mestilah ke arah memajukan industri ini; bukan lagi mengawal untuk mengekang suara.

Jika kerajaan yang menjanjikan reformasi tidak mampu lebih baik, janganlah perkenalkan pindaan yang lebih memundurkan. Jangan!

Janganlah sampai terlintas dalam fikiran rakyat: Alangkah baik kalau kita tidak buat perubahan politik ini, lebih baik hidup bawah pentadbiran BN, “the devil all of us know”!

Nota: ** Pada 14 Ogos 2019, mahkamah putuskan tindakan kerajaan gantung permit selama tiga bulan itu “melanggar perlembagaan”.

Oleh itu, penerbit harian dan mingguan The Edge diberi ganti rugi RM11.76 juta atas penafian haknya. Apa kata hakim dalam keputusannya?

“Terdapat keadaan yang luar biasa bagi mahkamah untuk memberikan ganti rugi teladan yang dipohon pemohon [The Edge] kerana telah menjadi mangsa tindakan tidak berperlembagaan responden [KDN] yang menggantung penerbitan.”

Sama juga lima tahanan Gerakan Reformasi yang disumbat ke kem Kamunting, Perak pada 2001.

Pada 11 Disember 2014, hakim putuskan mereka perlu dibayar RM4.55 juta (atau RM10,000 setiap hari ditahan) atas perlanggaran hak rakyat bawah akta ISA dan juga difitnah cuba guling kerajaan.

*** Pada 1 Oktober 2012, mahkamah memutuskan tindakan menyekat pemberian permit akhbar “tidak wajar dan tidak rasional”. Tindakan menteri itu arahan silap kerana melebihi had bidang kuasanya.

“Keputusan [KDN] menjejaskan hak plaintif [Malaysiakini] untuk menikmati hak kebebasan bersuara termasuk hak untuk permit, dan ia adalah kebebasan asas yang termaktub dalam perlembagaan,” kata hakim.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan certiorari [membatalkan] keputusan responden [KDN] dan pemohon perlu mengemukakan suratnya [untuk mohon permit akhbar] kepada kementerian.”

Kebebasan bersuara melalui penerbitan juga adalah hak semula jadi yang sedia termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, kata hakim.





No comments: