
Langkah bagi memastikan bekalan beras tempatan mencukupi dibuktikan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turun padang meninjau kawasan tuaian padi di Jerlun, Kedah baru-baru ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KLUANG, 8 Mar – Selepas lebih dua tahun, akhirnya bekalan beras tempatan kembali berada di pasaran dan pembelian dua kampit beras yang dibenarkan bagi satu keluarga amat melegakan di samping dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan berbanding beras import yang lebih mahal.
Tinjauan mendapati bekalan beras tempatan mula membanjiri pasaran sejak beberapa hari lalu di samping stok yang ada di kedai peruncit setakat semalam ialah beras putih import yang berharga RM33 ke atas bagi sekampit 10 kilogram (kg) mengikut jenama.
Beras tempatan yang mula dijual dalam pasaran bermula 1 Mac lalu disasarkan penjualannya kepada 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin termasuk 77,000 KIR miskin tegar.

“Walaupun satu keluarga hanya dibenarkan beli dua kampit sahaja bagi sekali beli tapi ini tentunya lebih adil kepada golongan B40. Saya harap bekalan beras tempatan ini akan terus berada di pasaran selepas ini,” kata seorang suri rumah Suraya Abd Majid.
Manakala seorang pembeli dikenali sebagai Fadil lega apabila dapat membeli dua kampit beras 10kg di pasaraya berhampiran rumahnya sejak mendapat khabar beberapa hari lalu.
“Kawan saya bagitau beras tempatan (cap X) dah dijual dan meminta saya mendapatkannya sebelum stok habis. Tapi alhamdulillah pekedai kata jangan risau sebab beras akan sampai stok lagi minggu depan,” katanya.
Pada bulan lalu pula, kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 setan berbanding RM1,300 pada 2023.
Ini ditambah lagi dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang agresif mahu penanaman padi lima musim dua tahun dilaksanakan dengan peruntukan bagi pembaikan saliran di kawasan padi bagi menjamin peningkatan hasil tuaian kelak.
No comments:
Post a Comment