Allah menempelak orang yang sentiasa cakap dirinya tak ada apa-apa (maksudnya Allah tak beri dia apa-apa nikmat). Dia selalu kata dirinya diuji. Allah tak sayang dia. Allah tak bersama dengan dia. Allah tegur orang macam ni.
Kadang-kadang kita mati dalam keadaan diri kita tidak berterima kasih kepada Allah. Jangan tahap kita menghembus nafas kita yang terakhir dalam keadaan kita tak redha dengan apa yang Allah dah beri kepada kita. Apa yang Allah telah tetapkan kepada kita.
Iya, kita sakit hari ini sahabat. Tetapi berapa tahun pulak Allah bagi sihat? Umur kita 60 barulah ada kencing manis. Sahabat, 60 tahun Allah bagi kita sihat. Faham?
"Ustaz, saya kena kanser pada umur 45 tahun". 45 tahun Allah bagi engkau nikmat dengan badan yang sihat. Ada orang yang adiknya baru meninggal tahun ini. Umur 22 tahun, kena kanser.
Sebab itu Allah menempelak orang yang sentiasa menyatakan mereka di dalam kerugian. Mereka di dalam hampa dalam kehidupan mereka. Sedangkan Allah kata apa?
أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلۡمَآءَ ٱلَّذِي تَشۡرَبُونَ
[Surah Al-Wāqiʿah: 68]
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
Tengok air yang kita minum. Air yang hari-hari kita minum. Kadang-kadang kita tak rasa pun nikmat itu. Sebab benda tu ada. Itu sifat manusialah. Sifat kita, bila ada, tak dihargai. Sudah meninggal, barulah beria-ria nak pasang lagulah, nak menangis kat pusara orang tu. Iya, itu memang sifat kita.
Macam badan kita. Sihat, tak hargai sangat. Bila sakit, barulah kita rasa nak beribadat kepada Allah. Betul tak? Macam orang yang berada di sekeliling kitalah. Isteri kita, suami kita. Mana kita nak hargai sangat. Tak terlampaulah nak hargai kecuali bila mana mereka sudah tiada. Baru kita nak hargai. Itulah orang rumah kita. Dekat, nak bergaduh saja. Kalau jauh, barulah dia rindu. Ini yang berlaku dalam hidup kita. Kadang-kadang kita tak menghargai. Allah ajar. Allah tunjuk kepada kita.
Eh dengar betul-betul! Tengok air yang kau minum tu.
ءَأَنتُمۡ أَنزَلۡتُمُوهُ مِنَ ٱلۡمُزۡنِ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنزِلُونَ
[Surah Al-Wāqiʿah: 69]
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?
Air yang kita minum itu ada prosesnya sebelum ia sampai kepada kita. Dan itulah yang Allah nak bagitau kita, "Eh, kau ada proses. Rezeki yang Aku nak bagi kepada kau dah OTW. Tak lama lagi sampai. Tak lama lagi kau akan terima. Cuma, ada proses, ada jalannya". Sebelum itu tolonglah diri kita berterima kasih dengan Allah.
Ustazlah.
Khamis 22/8/2024 bersamaan dengan 17 Safar 1446H.