KISAH SEDIH DAN PENGAJARANNYA.

 

Jamzuri Ardani


Hari ini saya ditakdirkan bertemu dengan seorang kawan yang baharu saya kenali, lelaki berbangsa Cina yang umurnya jauh lebih senior dari saya. 


Beliau rakyat Malaysia dan sejak 30 tahun lepas lebih banyak berada di luar negara kerana mempunyai perusahaan dan perniagaan di luar negara. 


Dia menceritakan kesusahan hidup keluarganya masa beliau kecil. Beliau lima beradik dipelihara oleh ibunya. Ayahnya hilang entah ke mana meninggalkan ibunya bersama 5 orang anak yang masih kecil. 


Ibunya mengambil upah menoreh getah di Muar. Mereka tiada rumah dan tiada tanah. Mereka hanya mampu menyewa satu bilik kecil untuk tinggal 6 beranak. 


Itupun acap kali mereka dihalau keluar atas pelbagai sebab. Sewa rumah Cina pun kena halau. Sewa rumah India pun kena halau. Sewa rumah Melayu pun kena halau. 


Satu hari ibunya berjalan kaki sambil menangis bersama 5 orang anaknya mencari tempat berteduh. 


Kebetulan seorang Pak Aji melihat keadaan mereka. Pak Aji itu bertanya khabar dan menawarkan mereka 6 beranak tinggal menumpang di pondok buruk di tanahnya. 


Di atas tanah itulah mereka membina kehidupan. Bermula dengan bercucuk tanam, kemudian berniaga, dan akhirnya anak-anak tadi semua mendapat pendidikan dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.  


Saya percaya Pak Aji yang membantu keluarga orang Cina ini mendapat pahala dari perbuatan baiknya menolong mereka. 


Saya juga percaya ada banyak kisah-kisah sebegini yang memupuk rasa kemanusiaan merentasi sempadan kaum dan agama.  Kisah-kisah ini perlu dicatat dan dikongsikan buat teladan generasi seterusnya. 


Semoga Malaysia terus makmur dan harmoni.