YANG PASTI PEMIMPIN ‘BERPROFIL TINGGI’ MAHU MASUK PKR ITU BUKANLAH AHLI PARLIMEN ATAU ADUN

 

Mungkin benar apa yang dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ini – ramai individu berstatus profil tinggi akan menyertai PKR.

Kata beliau, pihaknya memang ada menerima permohonan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mempunyai nama besar di dalam arena politik negara dan berminat untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, Saifuddin dalam temu bual dengan akhbar Utusan Malaysia, menegaskan bahawa PKR tidak menggunakan apa-apa eleman seperti memujuk, mengumpan atau mengugut.

Sebaliknya, katanya adalah lebih bernilai kepada parti jika ia pilihan mereka sendiri.

“Saya boleh mengesahkan masih ada lagi orang-orang yang telah mendatangi dan menghubungi kami sama ada di peringkat saya atau Presiden (Anwar Ibrahim) yang menzahirkan hasrat sama.

“Kalau ada berita di sana, di sini tentang kemasukan anggota biasa Bersatu dan sebagainya itu saya anggap perkara biasa sebab memang kami menerima pada sepanjang masa.

“Setiap bulan apabila saya bermesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), satu agenda khas setiausaha agung membentangkan permohonan menjadi anggota parti mengikut negeri dan cabang di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, PKR membuat beberapa ketetapan sekiranya yang memohon dan meminta untuk diterima terdiri daripada mereka berpengaruh.

“Jadi itu mesti diberi justifikasi dan penerangan. Memang ada ada individu high profile yang mohon,” katanya.

Tetapi, siapakah mereka yang dikatakan berprifil tinggi yang mahu menyertai PKR itu?

Kalau hendak beralih parti, sudah tentu mereka yang ingin berbuat demikian bukan bertaraf Ahli Parlimen atau Adun.

Ini kerana Ahli Parlimen atau Adun terikat dengan Akta Anti Lompat Parti di mana apabila mereka beralih parti, kedudukan sebagai Ahli Parlimen atau Adun akan tergugur secara automatik dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Tidak mungkin ada Ahli Parlimen yang sedia berbuat demikian…takkan nak dilepaskan gaji berbelas ribu setiap bulan yang sedang diterima sekarang?

Jika bukan Ahli Parlimen dan bukan juga Adun, masihkah boleh dianggap mereka itu digelar berprofil tinggi?

Lebih-lebih lagi jika mereka itu kalah pada PRU15 lalu, ertinya profil mereka tidak cukup tinggi di mata pengundi.

Dalam pada itu, apakah tujuan mereka sekarang ingin menyertai PKR – mahu mendekati Anwar atas pelbagai kepentingan atau meneroka laluan mencari peluang untuk menjadi calon pada PRU16 akan datang?

Memang tidak salah menerima sesiapa pun sebagai anggota parti, tetapi jauh lebih bermanfaat jika keahlian itu datang daripada rakyat biasa yang mampu menyumbang kekuatan parti bermula daripada ranting, cabang, negeri dan seterusnya ke peringkat pusat.

Mereka yang masuk daripada atas dan hanya ingin berada di atas, biasanya kesetiaannya juga terbatas.

Jika ditakdirkan PKR tiada kuasa lagi selepas ini, mereka pun akan mencari alasan lain untuk berpindah pergi. –

 ShahbudinHusin 13/03/2024.