Wanita KEADILAN Pulau Pinang melahirkan rasa kecewa atas kenyataan
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya yang mendakwa Menteri Pendidikan
Fadhlina Sidek sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan
polemik apabila mengarahkan semua kantin sekolah dibuka sepanjang bulan suci
tersebut.
Ketuanya Nurhidayah Che Ros berkata, perkara tersebut tidak
sepatutnya dipolitikkan hingga menyebabkan pertelagahan sesama umat Islam
kerana percaya tindakan kantin kekal beroperasi mampu mengajar pelajar
bertoleransi dan memahami erti puasa sebenar selain meringankan beban ibu bapa
menyediakan makanan untuk anak-anak pada waktu pagi.
"Mungkin Datuk Ahmad Yahya dan rakan seperjuangannya kurang
peka bahawa tidak semua ibu sempat menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa oleh
anak-anak di waktu pagi, di samping tanggungjawab dan kewajipan lain yang
dipikul oleh wanita di masa kini.
"Tidak mungkin kita tergamak membiarkan pelajar-pelajar ini
berlapar sekiranya kantin sekolah tidak dibuka bukan? Islam merupakan agama
yang indah, mengajar kita untuk bertoleransi dan mengambil berat tentang
kekangan yang dihadapi oleh semua orang termasuk masyarakat yang bukan Islam.
"Beliau perlu sedar, keputusan yang diambil oleh Fadhlina
adalah sebagai seorang Menteri yang menjaga hal ehwal sekolah dan pendidikan di
seluruh negara dan tidak terhad kepada satu-satu lokaliti semata-mata,"
katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Ulama Pas itu yang juga Ahli
Parlimen Pokok Sena menyifatkan Fadhlina tergopoh-gapah membuat keputusan
mengarahkan semua kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan.
Nurhidayah berkata, pada hakikatnya kenyataan Ahmad sebenarnya
yang menimbulkan polemik sedangkan keputusan yang dibuat oleh Menteri
Pendidikan telah melalui proses perbincangan yang mendalam demi pendidikan
anak-anak di negara ini.
"Dengan itu, Wanita KEADILAN Pulau Pinang menyeru semua pihak
terutamanya ahli-ahli Pas supaya bersama-sama berlumba-lumba beramal di bulan
Ramadan berbanding saling menjatuhkan demi kepentingan politik," ujarnya.