TIADA SEBAB PH TAK BOLEH PERTAHAN KEMENANGAN DI PULAI, SIMPANG JERAM



PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram pada 9 September depan amat menjadi idaman bagi PN atas matlamat yang berbeza.


Bagi Pulai, seperti mana diulang oleh Presiden Pas Hadi Awang, PN mahu menjadikannya sebagai pencetus kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.


Setelah gagal menjadikan PRN enam negeri yang baru berakhir sebagai referendum penolakan kepada Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan, PN kini beralih pula kepada PRK Pulai untuk meneruskan impian dan angan-angan mereka.


Entah macam mana ia boleh berlaku, tetapi yang berputar dalam pemikiran Hadi, jika PN menang di Pulai nanti, bagi bekas duta bertaraf menteri itu ia bermakna pendeklah riwayat politik Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.


Entahlah Labu…


Untuk Dun Simpang Jeram, PN khususnya Pas, begitu ghairah untuk memperolehi kemenangan pada 9 September nanti kerana ingin menjadikannya pintu masuk untuk gelombang hijau menembusi negeri Johor.


Bagi tujuan itu, PN berharap pengundi Simpang Jeram agar tidak takut membuat eksperimen, seterusnya memberi isyarat penting kepada PH dan BN menjelang PRU akan datang.


Isunya, ada kemungkinankah calon kerajaan perpaduan daripada PH boleh kalah dan PN mampu menang dalam kedua-dua PRK itu?


Berdasarkan keputusan PRU15, Allahyarham Salahuddin Ayub menang di Pulai dengan majoriti 33,174 undi.


Beliau memperolehi 64,900 undi berbanding lawannya, Nur Jazlan Mohamed (BN) yang memperolehi 31,726 dan calon PN, Loh Kah Yong yang memperolehi undi sebanyak 14, 432.


Komposi pengundi Pulai ialah Melayu 44.2 peratus, Cina 40.5 peratus dan India 12.3 peratus.


Dengan majoriti besar itu, di samping PH dan BN kini sudah menjadi satu pasukan dalam kerajaan perpaduan, calon PH, Suhaizan Kaiat dilihat tiada masalah untuk mengekalkan kemenangan di Pulai.


Jika dicampur undi PH dengan BN, bahkan kiranya ditolak 20 peratus daripadanya yang mungkin tidak keluar mengundi atas pelbagai sebab, kemenangan masih selesa untuk diperolehi.


Faktor lain ialah kedudukan pengundi bukan Melayu iaitu Cina dan India yang agak besar di Pulai, ia juga pasti memberi kelebihan kepada PH berbanding PN yang di dalamnya ada Pas dengan gelombang hijaunya itu.


Begitu juga bagi Dun Simpang Jeram, Allahyarham Salahuddin memenanginya pada PRN Johor yang lepas dengan majoriti 2,399 undi.


Beliau memperolehi 8,749 undi berbanding lawannya, Zarul Salleh (PN) dengan 6,350 undi, Lokman Md Don (BN) 6,062 undi dan Mahaizal Mahmor (Pejuang) yang memperolehi 208 undi.


Komposisi pengundi mengikut kaum di Simpang Jeram ialah Melayu 51.9 peratus, Cina 44.5 peratus dan India 2.5 peratus.


Sama keadaannya seperti di Pulai, oleh kerana PH dan BN sudah bekerjasama dalam kerajaan perpaduan sekarang dan jika dicampur undi kedua-duanya, calon PH, Nazri Abdul Rahman juga boleh dikira tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Simpang Jeram.


Meskipun Pas agak kuat di Simpang Jeram dan katalah sebanyak 20 peratus undi BN beralih kepada PN atas sebab terpedaya dengan hasutan gelombang hijau dan momokan kerjasama dengan PH yang ada DAP di dalamnya, kemenangan masih lagi selesa dalam jangkauan.


Bahkan dengan jumlah pengundi bukan Melayu lebih 45 peratus di Simpang Jeram, ini adalah suatu kelebihan buat PH berbanding PN.


Hakikatnya, asal saja tidak memandang mudah dan terus bekerja keras, calon PH yang mewakili kerajaan perpaduan serta dibantu kempen oleh kekuatan jentera BN, baik di Pulai atau Simpang Jeram, tiada sebab tidak boleh mempertahankan kemenangan yang dicapai Allahyarham Salahuddin sebelum ini.


Tak patut sangat jika PH boleh kalah dan PN tiba-tiba mampu menang, sama ada di kedua-dua kawasan iaitu Pulai dan Simpang Jeram atau salah satu daripadanya. – ShahbudinHusin 28/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: