Perkhidmatan air: Tanggungjawab siapa?






NIK HASYUDEEN


Adalah penting untuk kita memahami sejarah penstrukturan industri air di Malaysia supaya kita faham berbezaan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri.

Sebelum tahun 2005, tanggungjawab ke atas perkhidmatan air adalah di bawah kerajaan negeri sepenuhnya kerana ianya termaktub di dalam jadual kuasa negeri di dalam perlembagaan persekutuan. Kerajaan persekutuan memberikan pinjaman kepada kerajaan negeri untuk menguruskan industri air masing-masing.

Walau bagaimana pun ini menjadi cabaran besar negeri-negeri kerana kos infrastruktur air yang tinggi. Paip-paip lama perlu diganti dan loji-loji rawatan air baharu kena dibina. Ada negeri yang mengswastakan perkhidmatan air dan ada yang mengurusnya sendiri:

Oleh kerana perkara ini sudah sampai satu tahap kritikal, kerajaan persekutuan telah masuk campur dan membawa formula baharu.

Di dalam tahun 2005, perlembagaan persekutuan dipinda menjadikan air dimasukkan ke dalam jadual kuasa bersama. Di dalam tahun 2006 Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Akta Perkhidmatan Industri Air (WASIA) diwujudkan.

Mengikut model baharu ini, kerajaan pusat melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memiliki aset-aset air manakala negeri akan terus menguruskan sumber-sumber air. Negeri juga akan menjalankan perkhidmatan air kepada rakyat melalui pengkorporatan entiti-entiti air negeri. Syarikat-syarikat air ini akan memajak aset dari PAAB.

Ada beberapa negeri lagi yang belum menyelesaikan proses penstrukturan ini.

Berdasarkan kaedah ini, perbelanjaan modal yang sebelum ini ditanggung oleh negeri menjadi perbelanjaan mengurus dan dipadankan dengan kutipan bayaran air yang dipunggut. Walau bagaimana pun, pengurusan syarikat-syarikat air kena bijak dan cekap supaya mereka boleh membayar bayaran pajakan kepada PAAB. Pembayaran ini akan membolehkan PAAB membayar balik pinjaman yang dibuatnya untuk membiayai kos pembelian/pembangunan aset-aset air.

SPAN adalah agensi kawal selia yang mempastikan polisi dan pelaksanaan penstrukturan ini berjaya.

Oleh kerana kos penstrukturan ini memakan jumlah dana yang besar, secepat mana aset-aset air baharu boleh dibangunkan dipengaruhi juga oleh kedudukan kewangan kerajaan persekutuan. Walaupun PAAB menerbitkan bon/sukuk, ianya tetap berkait dengan sokongan kewangan kerajaan persekutuan (boleh rujuk laporan penarafan sukuk PAAB). Apabila hutang kerajaan persekutuan sudah mencecah RM 1.5 trilion, ianya akan memberi kesan ke atas penerbitan sukuk seterusnya.

Bagi menambah aset-aset air di negeri-negeri, cadangannya kepada kerajaan persekutuan bukan sahaja kena tepat dari segi teknikal tetapi kena mencadangkan model kewangan yang munasabah. Ianya bukan jalan mudah untuk melepaskan tanggungjwab menjalankan operasi syarikat air negeri dengan berdaya maju supaya kosnya ditanggung oleh kerajaan persekutuan.

Rajah yang dikongsikan hanyalah untuk memberikan gambaran kasar penstrukturan semula ini. Banyak perkara yang lebih terperinci tidak diambil kira. Jika terlalu terperinci, susah nak faham pula. Faham?

 

No comments: