Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas seteru politiknya Muhyiddin Yassin kerana mendesak dirinya supaya berundur susulan prestasi buruk Pakatan Harapan-BN pada pilihan raya negeri Sabtu lalu.
Bercakap kepada pemberita pagi ini, Anwar mempersoalkan logik di sebalik desakan pengerusi Perikatan Nasional itu, dan berkata gabungan PH-BN masih menguasai majoriti di parlimen.
“Dia buat perkiraan apa? Kita kekal kemenangan (di) tiga (negeri) , kita masih dapat majoriti dua pertiga ahli parlimen.
“Saya nasihatkan dia tumpu kes di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.
Sehari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Muhyiddin berkata kemenangan besar gabungan PN yang diterajui oleh PAS dan Bersatu adalah tanda rakyat menolak kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru, katanya, mereka perlu meletak jawatan dengan serta-merta.
Pada PRN 12 Ogos itu, PH-BN kekal di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala PN juga terus berkuasa di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Anwar juga tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menyalahkan orang Melayu susulan prestasi buruk Pakatan Harapan-BN dalam enam pilihan raya negeri yang berakhir Sabtu lalu.
Katanya, keputusan tersebut – yang menyaksikan gabungan itu tewas di banyak kerusi majoriti Melayu – sebaliknya harus dijadikan sebagai cabaran oleh PH dan BN untuk menyantuni rakyat supaya memahami konsep Madani.
“Ia mengambil masa, saya tak setuju sesetengah pihak menyalahkan orang Melayu, menyalahkan (kononnya) kefahaman mereka bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama, menakut-nakutkan Cina dan DAP.
“Saya tak setuju, ini satu cabaran dan kita cuba menyantuni dan jelaskan pada mereka,” katanya lagi.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/676001