Elak hilang sokongan, tunai manifesto peringkat negeri
Keputusan yang tidak menyebelahi Pakatan Harapan (PH) mahu pun KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru baru ini memerlukan kepimpinan untuk memikirkan dengan serius strategi mengembalikan keyakinan rakyat.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang, Harikrishnan, kekurangan pengundi yang keluar mengundi, yang biasanya menyokong PH dalam PRN Melaka sebelum itu juga bukan semata mata faktor Covid 19.
Katanya, satu penelitian perlu dilakukan apabila Undi 18 dan Undi 21 yang diharap akan menyokong KEADILAN tidak menunjukkan pertambahan undi yang signifikan daripada kelompok berkenaan.
“Jumlah pengundi yang amat rendah di PRN Johor baru-baru ini tidak dapat dinafikan, namun undian dari anak muda turut kecundang apabila tidak mendapat undi seperti yang diharapkan.
“Apakah kemungkinan anak muda sudah tidak kisah atau sudah hilang kepercayaan terhadap PRN? Covid boleh dijadikan salah satu sebab tetapi faktor “fed up” harus diambil kira kerana kerajaan PH sebelum ini tidak menunaikan sebarang janji manifesto seperti yang telah dijanjikan kepada anak muda,” katanya.
Tegas Harikrishnan, faktor undi anak muda menjadi penentu utama kemenangan PH pada PRU 14 lalu, dengan salah satu janji utama adalah untuk menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Walau bagaimanapun, katanya, perlaksanaan janji itu sukar ditunaikan PH dengan hanya memerintah di tiga buah negeri ketika ini.
“Namun sebagai langkah permulaan kerajaan negeri PH boleh (dicadangkan) membayar hutang PTPTN tahunan yang dibayar oleh pelajar B40 dan M40 kelahiran Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun pertama.
“Berdasarkan pengalaman saya, gaji tahun pertama sebagai jurutera sebanyak RM1,800 selepas potongan KWSP dan PERKESO, kemudian hutang PTPTN sebanyak RM330 setiap bulan.
“Bayangkan jika seorang jurutera muda hanya menerima gaji bersih kurang RM1,500, bagaimanakah pula dengan pelajar lulusan dari bidang-bidang yang lain? Jika kerajaan negeri dapat memberi pulangan hutang yang dibuat oleh pelajar kelahiran negeri Kerajaan PH, sedikit sebanyak mampu membantu pelajar untuk tempoh lima tahun pertama sebelum mereka mampu mendapat pendapatan yang lebih baik.
“Cara ini diharap boleh mengembalikan sedikit sebanyak keyakinan anak muda tentang keseriusan kerajaan negeri PH untuk menunaikan janji manifesto. Saya percaya kita tidak dapat melaksanakan manifesto yang lepas kerana Perdana Menteri PH pada masa itu bukannya seorang yang memegang janji,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru kepada pemimpin PH bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneliti semula cara terbaik melaksanakan janji manisfesto di peringkat negeri secepat yang mungkin sebelum PRU 15.