5% MELAYU MENGEJAR KEKAYAAN DAN MELIBATKAN ORANG POLITIK.....KAH.....MAKAN GAJI BUTA PUN ADA.

 

95% orang Melayu harap kehidupan sederhana, selesa, kata pemimpin PERKASA




Syed Hassan Syed Ali berkata, kepimpinan negara perlu memikirkan bagaimana cara untuk memberikan kehidupan sederhana dan selesa kepada rakyat.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, 95% orang Melayu mengharapkan kehidupan sederhana dan selesa.

Katanya, hanya 5% orang Melayu yang mahu mengejar kekayaan, dengan kebanyakannya dalam kalangan kumpulan politik.

Bagi merealisasikan harapan majoriti orang Melayu menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada Isnin, beliau berkata, kepimpinan negara perlu memikirkan cara untuk memberi kehidupan sederhana dan selesa kepada rakyat.

“Kalau duduk rumah macam reban ayam itu bukan selesa, itu macam keadaan zaman puluhan tahun dahulu,” katanya pada program Bicara Dewan Melayu “RMK12 – Apa Melayu Mahu” malam tadi.

Beliau turut mengkritik cara pelaksanaan Rancangan Malaysia (RMK) diumumkan kerajaan terdahulu, terutamanya selepas RMK8 yang lebih kepada retorik, tetapi banyak masalah rakyat, khususnya nasib orang Melayu tidak ditangani.

“RMK2 hingga RMK8 kita akui banyak kejayaan dicapai, walaupun tak sampai 100%, tapi RMK9 hingga RMK11 segala yang diumum kerajaan, rakyat tengok hanya retorik, nak sedapkan telinga dan mata membaca.

“Ramai yang masih menganggur, keluar IPT (institusi pengajian tinggi) kerja yang dapat jauh daripada apa yang dipelajari.

“Dulu masa RMK2 hingga RMK8, siapa yang belajar arkitek, keluar IPT akan kerja arkitek, tapi bawah RMK sekarang, keluar sebagai arkitek, kerja bukan arkitek, kebanyakan rancangan kerajaan gagal, apa dirancang tidak menepati apa yang rakyat mahu.”

Katanya, menjelang pembentangan RMK12, kerajaan perlu memfokuskan beberapa isu, antaranya peluang pekerjaan untuk penganggur bagi memastikan rakyat mendapat kehidupan sederhana dan selesa.

Walaupun mengharapkan RMK12 lebih baik pelaksanaanya berbanding dahulu, Syed Hassan meragui kemampuan kerajaan melaksanakan segala perancangan, termasuk memulihkan agenda Melayu, memandangkan kedudukan politik negara tidak stabil.

“Suasana politik sekarang tak ada parti yang dominan memerintah, bila tak ada parti dominan, bijak macam mana sekalipun pemimpin, dia tak mampu selesai masalah. Saya rasa nak selesai 20% apa yang diumum dalam RMK12 nanti pun belum tentu dapat, kalau keadaan politik tak menentu.”

Sementara itu Ketua Koordinator Kluster Ekonomi Bumiputera Majlis Perundingan Melayu (MPN), Abdul Razak Kassim berkata, sebelum RMK12 dibentangkan, rundingan dengan NGO, termasuk MPN perlu dibuat.

“Proses RMK12 kita tak dilibatkan, berbeza dengan RMK11, kita MPN dilibatkan lebih awal dan dipanggil beri idea,” katanya.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bakal membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat pada Isnin.

Berhadapan pandemik Covid-19 di penghujung RMK11 selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal 6 Ogos tahun lepas kepada Januari tahun ini, sebelum dibentangkan pada Isnin.