GABUNGAN NGO AKAN LANCAR KEMPEN BENDERA HITAM, PUTIH LEPAS 13 OGOS
Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBRM) hari ini memberi kata dua kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada mengumumkan pembukaan Parlimen sehingga 13 Ogos ini atau mereka akan memulakan kempen mengibar bendera hitam dan putih ke seluruh negara.
Menurut Koordinator GBRM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, pembukaan Parlimen penting bagi menyelesaikan isu keabsahan kerajaan dan perang melawan Covid 19.
“Kita untut 3 perkara. Pertama minta kepada PN buka Parlimen. Kita beri tempoh sehingga 13 haribulan. Kalau sekiranya 13 Ogos tidak dibuka Parlimen kita kita rakyat seluruh Malaysia bermula 14 Ogos akan angkat bendera putih atau bendera hitam sebagai tanda protes.
“Putih bermakna kita mahukan Malaysia kembali putih. Bermakna kita mahu sokongan dari pihak istana, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu ikut campur dalam keadaan sekarang (menyelesaikan kemelut politik)
“Warna hitam bermakna lawan. Kita lawan perampas kuasa rakyat. Kita lawan mereka yang khianat mandat rakyat. Kita lawan dengan mereka yang tidak mahu membela nasib rakyat.
“Silakan rakyat Malaysia lakukan. Jika mereka tidak mahu buka (Parlimen) hari Jumaat ini kita mulalan protes bukan fizikal. Naik motor, basikal atau kereta bawa bendera putih atau hitam atau putih bersama hitam,” katanya dalam sidang media di luar pagar Istana Negara setelah selesai menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi.
Selain itu, tegas Mustapa, memorandum itu juga berkenaan kerajaan PN yang telah hilang majoriti dan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin diseru berudur segera serta isu sogokan kewangan untuk membeli sokongan Ahli Parlimen pembangkang.
“Tuntutan kedua berkenaan keabsahan PN. Setakat ini kita lihat PN telah hilang majoriti. Dalam sebuah negara amalkan sistem demokrasi berparlimen mana-mana kerajaan yang hilang majoriti perlu berundur secara terhormat dan menghormati sistem demokrasi serta Raja Berperlembagaan.
“Kalau Raja sekadar berada di upacara rasmi sahaja, maka hilanglah fungsi Raja Berperlembagaan itu
“Ketiga, kita desak hentikan politik wang, sebab RM30 juta (cubaan rasuah beli Ahli Parlimen) jumlah yang besar di saat rakyat amat derita. Tiga tuntutan ini diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Diharap Agong ambil serius perkara ini,” katanya lagi.