Dilaporkan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin telah ditetap untuk dibentangkan di Parlimen pada 7 September depan.
Oleh kerana pembukaan Parlimen adalah pada 6 September yang dimulai dengan titah Yang Dipertuan Agong, bermakna usul percaya akan diadakan pada hari kedua.
Berdasarkan situasi semasa, ada dua isu yang timbul di sini:-
Pertama, berikutan pemakluman penarikan sokongan oleh 105 Ahli-Ahli Parlimen daripada blok pembangkang, disertai dengan 15 Ahli Parlimen UMNO kepada Istana Negara, ertinya sekarang ini Mahiaddin sudah pun hilang majoriti.
Dengan jumlah 120 Ahli Parlimen blok pembangkang dan UMNO yang sekarang telah menarik sokongan, maknanya yang tinggal bersama Mahiaddin cuma ada 100 saja.
Jumlah keseluruhan Ahli Parlimen ialah 222, tetapi dua orang – Batu Sapi dan Gerik meninggal dunia – jumlahnya kini hanya tinggal cuma 220.
Berikutan jumlah 220 itu, untuk memiliki majoriti mudah ialah 111.
Sedemikian itu, untuk apa lagi Mahiddin tunggu sehingga 7 September untuk mengabsahkan kedudukannya jika sekarang pun beliau sudah tahu tiada lagi majoriti berpihak kepadanya?
Bukankah sebaik mengetahui kedudukannya tiada lagi majoriti, beliau sepatutnya mesti meletakkan jawatan atau sebagai pilihan kedua, mencadangkan pembubaran Parlimen bagi PRU baru diadakan?
Memandangkan PRU tidak sesuai diadakan ketika Covid19 sedang mengganas ini, Mahiaddin sepatutnya menjadi lembut hati untuk berjiwa besar dengan meletakkan jawatan secara sukarela, bukannya terus bersikap ganas kagi mempertahankan lagi kedudukannya yang tiada majoriti itu.
Berundurlah Mahiaddin…malu orang Melayu dan pengundi Pagoh ada pemimpin berperangai degil dan tak tahu malu macam gini…
Lagi pun, nak ditunggu apa lagi?
Kalau sekarang pun sudah tiada majoriti, apakah pada 7 September nanti undi boleh bertambah melebihi angka 111?
Jika sekarang hanya tinggal 100, di mana lagi nak mencari 11 Ahli Parlimen untuk menampung kekurangan yang ada?
Apakah masih ada mana-mana Ahli Parlimen blok pembangkang dan UMNO yang pada dasarnya sudah pun memaklumkan kepada Istana Negara tentang penolakan mereka kepada Mahiaddin, sanggup beralih untuk menyokong kerajaan yang paling dibenci dan dikecam rakyat ini?
Kedua, dengan menetapkan undi percaya dibentangkan selepas titah Agong, ia dengan sendirinya memberi makna Mahiaddin dan kerajaan PN tidak menghormati atau cuba menghina titah Diraja itu.
Selepas Agong menyampaikan titahnya, sebagaimana lazimnya ia kemudian akan dibahas, diundi dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen.
Tetapi, oleh kerana selepas titah Agong kali ini, keesokannya akan diadakan usul undi percaya, apa jadi kepada perbahasan titah Diraja itu sekiranya Mahiaddin tewas usul undi percaya?
Apakah kerajaan baru akan meneruskan perbahasan dengan titah Agong sedia ada atau Agong perlu menyampaikan titah baru yang akan disediakan oleh kerajaan baru?
Sebab itu, dalam hal ini, sebagaimana tuntutan banyak pihak, malah Istana Negara sendiri dikhabarkan membuat permintaan yang sama, penetapan usul undi percaya mesti diadakan lebih awal daripada 6 September.
Dengan usul undi percaya diadakan lebih awal, bukan saja kedudukan kerajaan yang sah lebih awal dapat diabsahkan, malah tidak memungkinkan lagi titah Agong tercemar dengan sebarang kemungkinan yang tidak baik.
Apa pun, sehingga yang berlaku berlaku sampai ke peringkat yang ada sekarang, semuanya adalah salah Mahiaddin 100 peratus.
Beliau sejak awal cuba mengelak dan tidak berani mengabsahkan kedudukan majoritinya di Parlimen.
Jika beliau berjiwa besar seperti Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi yang pernah meminta kedudukan mereka sebagai Perdana Menteri disahkan di Parlimen sebaik mengambil alih jawatan ketua kerajaan, semua kekalutan dan kecelaruan ini pasti tidak berlaku.
Dengan itu juga, tidaklah jadi seperti sekarang di mana Mahiaddin adalah Perdana Menteri yang akan direkod sebagai paling menyusah dan membebankan Agong selaku ketua negara.
(ShahbudinHusin 12/08/2021)