Hari ini, Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke Indonesia.
Diperkatakan lawatan itu diadakan atas jemputan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
Entah….kenapalah agaknya jemputan itu dilakukan ketika wabak Covid19 tengah melanda?
Lebih-lebih lagi di kalangan negara-negara Asean, Indonesia adalah negara yang paling tinggi kes Covid19 setiap hari.
Dalam hal ini, bukan saja musykil bagaimana jemputan boleh dibuat terhadap Muhyiddin untuk melawat negara tersebut ketika wabak belum reda, yang lebih musykil lagi ialah mengapa beliau setuju menerima jemputan tersebut.
Bukankah negara sendiri sedang menguatkuasakan PKP yang ditambah lagi dengan perintah darurat?
Memanglah sebagai orang kayangan paling berkuasa di Malaysia sekarang ini, Muhyiddin boleh pergi ke mana saja, waima ada atau tidak PKP dan darurat dikuatkuasa sekali pun.
Namun, kalau pun tidak bimbang dengan ancaman Covid19 di Indonesia itu, apakah tidak tergerak dalam hatinya untuk menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan kepada rakyat negara sendiri?
Di ketika PKP dan darurat dikuatkuasakan di mana semua rakyat diminta duduk di rumah dan dilarang merentas negeri, apakah rupa wajah seorang ketua kerajaan dari segi moral apabila dia sendiri bebas pergi merentas negara?
Kenapa Muhyiddin tidak mahu menunjukkan kepimpinan melalui teladan dalam tindakan dan perlakuannya?
Apakah jemputan Jokowi itu tidak boleh ditangguhkan?
Apakah Jokowi tidak boleh memahami jika Muhyiddin memohon penangguhan sehingga wabak Covid19 benar-benar pulih atau sehingga beliau sendiri disuntik vaksin terlebih dahulu yang hujung bulan nanti?
Apakah lawatan ke Indonesia itu begitu penting untuk negara seperti ada pelaburan berbilion-bilion boleh dibawa pulang sehingga ia tidak boleh ditangguhkan sama sekali?
Tidakkah kelihatan lebih manis dan menampakkan contoh teladan yang terpuji apabila Perdana Menteri sendiri tidak ke mana-mana, baik merentas negeri atau merentas negara, dalam tempoh PKP dan darurat ini dilaksanakan?
Lagi pula, dengan kedudukan kerajaan PN yang dipimpinnya diketahui umum tiada keabsahan dan sudah hilang majoriti, tiada rasa malukah Muhyiddin mahu merentas negara dan bertemu muka dengan pemimpin luar negara?
Beranikah beliau menjawab pertanyaan para wartawan di Indonesia nanti jika ditanya mengenai keabsahannya sebagai Perdana Menteri atau keadaan akan sama seperti Malaysia, tiada sebarang soalan daripada media akan dibenarkan ditanya kepadanya?
Selain itu, bila pulang dari Indonesia nanti, jangan pula Muhyiddin dan anggota rombongannya lupa untuk menjalani kuarantin kendiri.
Bukan apa, bimbang nanti muncul pula “Kluster Muhyiddin” yang menyebabkan angka jangkitan Covid19 terus bertambah dan mencanak-canak kenaikannya.
Jika itu berlaku, siapa sebenarnya yang salah yang menyebabkan kes Covid19 sentiasa meningkat?
(Shahbudindotcom 04/02/2021)