BAB 2 MEMAHAMI PRINSIP PERJUANGAN ANWAR PART 2 (MSO)

 

BAB 2 MEMAHAMI  PRINSIP  PERJUANGAN ANWAR  PART 2 (MSO)



Tiga asas perjuangan.

Jika menganalisa dan menyuluh Anwar dan perjuangan, ada tiga asas atau subjek utama yang menjadi intipati perjuangannya; pertama membela kemiskinan rakyat, kedua menjamin hak dan keadilan semua kaum dan ketiga menjaga kepentingan dan hak mutlak bangsanya; bahasa, budaya dan agama. Jika ia boleh dianggap sebagai wawasan dan gagasan perjuangannya, nah ketiga-tiga asas dan subjek inilah gagasannya.

Subjek dan matlamat utama perjuangannya ini terpancar dalam huraian piagam Reformasi yang mempunyai tujuh sendi yang dilancarkan buat pertama kali di Permatang Pauh tanggal 12 September 1998 yang dikenali dengan “Deklarasi Permatang Pauh.”

1. Ketinggian martabat insan.
2. Keadilan untuk semua.
3. Pendaulatan kuasa rakyat.
4. Kesamarataan agihan ekonomi.
5. Membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
6. Memperkukuhkan jati diri yang dinamis.
7. Bina bangsa yang bertamadun dan beradab dengan kompetensi diri yang ada.

Beliau sangat memperdulikan soal kemiskinan dialami rakyat. Jurang perbezaan rakyat sangat diamati dan dikesalinya. Beliau sering kali menyebut dan membangkitkan masalah kesenjangan hidup antara rakyat. Dengan mengungkapnya sebagai “kesenjangan” hidup rakyat, ada sesuatu yang serius mahu diatasi dan diperbaiki. Baginya kesenjangan hidup rakyat antara problem utama yang harus diselesaikan kerana ia boleh merobekkan perpaduan dan keharmonian negara yang akhirnya boleh mengheret negara dalam kemelut sosial yang dahsyat. Beliau menjadikan itu sebagai amanah penting untuk dilaksanakan.

Perbalahan dan pergaduhan antara kaum ia bermula antara daripada faktornya wujudnya kesenjangan ini oleh sebab manusia merasakan tidak berlaku keadilan dan ada yang dikesampingkan.

Apabila berlaku kesenjangan yang ketara maka wujud lah perasaan iri hati, tidak senang, rasa cuak lalu mula mengatur dan bertindak untuk memperjuangkan diri dan kelompok.

Mereka yang miskin akan terus hidup merana tanpa dipedulikan. Manakala yang kaya akan bersenang lenang dengan kekayaan mereka tanpa menghidu kesusahan rakyat yang papa kedana. Jika wujud suasana itu sudah tidak ada lagi erti kemanusiaan. Sedang Anwar seorang yang mengutamakan soal kemanusiaan ini.

Determinationnya di sini adalah memperjuangkan kemanusian. Anwar sangat mementingkan nilai-nilai kemanusiaan dalam rangka perjuangannya. Ini sejajar dengan ajaran agama dianutnya. Ada sebuah hadith mengumpamakan, tidak berbau Syurga seorang tetangga itu kalau tetangganya tidur dalam kelaparan. Hadith ini memberi pesan betapa saol kemanuisaan itu sangat tinggi darjahnya.

Lantas beliau cuba mendekatkan jurang itu.

Kedua, memperjuang Melayu bangsanya, berusaha memartabatkan bangsa Melayu. Beliau tetap mengambil berat kepada kedudukan dan nasib bangsanya, cuma bezanya beliau tidak beretorik dengan menjadikan soal bangsa sebagai satu slogan perjuangan membela bangsa, atau menggunakan slogan ketuanan Melayu dan sebagainya.

Beliau tidak menjadikan perjuangan Melayu itu sebagai slogan dan menggunakan ungkapan “ketuanan Melayu” untuk menggambar dan memberi tahu tanah air ini adalah hak Melayu. Beliau tidak mahu menjadi munafik dengan slogan itu semua. Sebab menurutnya kerana slogan Melayu itu telah disalah gunakan oleh para elitis. Telah dilacurkan demikian rupa untuk kepentingan diri sendiri bukan kelompok yang diperjuangkan itu.

Mereka melaungkan slogan untuk memperjuangkan Melayu tetapi dalam masa sama mengambil kesempatan untuk kepentingan diri. Baginya ini suatu kemunafikan. Hakikat inilah yang menjadikan beliau tidak senang dan tidak sedia untuk terheret dengan slogan Melayu. Beliau lebih gemar bercakap soal kemanusiaan (insaniyah), kerana dalam perkataan kemanusiaan itu lebih universal dan sesuai dengan ajaran Tuhannya. Koheren itu menyebabkan beliau tidak dilihat sebagai berjiwa Melayu dan membela Melayu.