Presiden KEADILAN, Datuk Seri
Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan beberapa pihak yang menggesanya supaya
mendedahkan bilangan dan nama ahli parlimen yang menyokong beliau sebagai
perdana menteri merupakan satu tekanan politik semata-mata.
Malah, rata-rata 6 laporan
polis yang dibuat menjurus kepada perihal nama dan bilangan ahli parlimen yang
menyokong beliau.
"Saya beri kerjasama
sepenuhnya kepada pihak polis dalam semua siasatan ini. Yang diminta mereka
adalah nama ahli parlimen.
"Saya beritahu saya sudah
bagi surat pengesahan dari presiden parti masing-masing dengan mewakili nama
masing-masing.
"Justeru, urusan ini
adalah urusan saya untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan
urusan polis atau orang politik atau menteri dalam negeri yang mengerahkan
pihak polis untuk mengetahui nama tersebut," katanya.
Anwar berkata demikian selepas
selesai memberikan keterangan di unit Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
bersama peguamnya, Ramkarpal Singh.
Dalam 6 laporan polis tersebut,
ada antaranya dibuat oleh ahli UMNO, Armada Bersatu dan individu-individu
tertentu.
Ramkarpal berkata, kes tersebut
disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia.
"Yang pelik kenapa semua 6
laporan disiasat tergesa-gesa seperti ini, sangat aneh.
"Semua laporan disiasat
dengan sekali gus, biasanya ia akan mengambil masa, pelik mengapa ia
disegerakan," katanya.
Anwar turut meluahkan rasa
terkilan terhadap kesungguhan pihak tertentu yang mahu mengetahui bilangan dan
nama ahli parlimen yang menyokong beliau.
"Ini satu perkara yang
amat membimbangkan dan menghairankan mengapa nombor 121 dan bilangan ahli
parlimen menjadi fokus.
"Saya beri kerjasama penuh
tetapi isu ini sudah dipersembahkan oleh presiden parti yang membuktikan bahawa
kami mempunyai lebih dari 121 ahli parlimen. Saya bukan berada di sini untuk
tunduk kepada kuasa politik dengan memberikan nama yang terlibat.
"Ini bukan urusan mereka,
ini urusan saya dan Agong. Ini hanya satu rencana politik untuk menekan saya
dalam saat-saat genting. Apa yang polis tanya pun menjurus kepada politik,
bilangan ahli parlimen dan pertemuan dengan Agong," katanya.
Namun, Anwar bertegas bahawa
beliau tidak akan mendedahkan nama dan bilangan sebenar ahli parlimen yang
menyokong beliau selagi belum tiba masanya.
"Ini antara saya dan
Agong, tidak munasabah untuk mengetahui dengan terperinci apa yang berlaku
antara saya dan Agong.
"Saya beri kerjasama
penuh, pihak polis pun berpuas hati dengan keterangan saya. Ini tindakan licik,
campur tangan politik, malah penyalagunaan kuasa politik kepada polis dengan
mempersoalkan isu seperti nama dan bilangan ahli parlimen.
"Ini bukan urusan mana-mana
pihak lain, ini adalah tugas saya sebagai ahli parlimen untuk
mempersembahkannya kepada Agong," katanya.
Anwar juga menafikan beliau
gagal mempersembahkan bilangan dan nama ahli parlimen yang menyokong beliau.
"Saya tidak pernah kata
saya persembahkan nombor atau nama seluruh ahli parlimen yang menyokong saya.
"Kalau ingat balik
kenyataan saya, saya persembahkan surat dan dokumen bukan nama. Apa yang
dipersembahkan adalah sokongan dari ahli parlimen KEADILAN. Saya sebagai
presiden KEADILAN mempersembahkan 38 ahli parlimen KEADILAN dan mereka memberi
sokongan penuh kepada saya.
"Soal bila nama dan
bilangan akan diumumkan, setakat ini perkara ini belum berbangkit tapi sedang
diuruskan," katanya.