Merujuk kepada video dan kenyataan yang dikaitkan dengan Ustaz Dato’ Nik Zawawi sebagaimana yang tular dalam poster di media sosial, adalah diharapkan agar penjelasan serta pembetulan dapat dilakukan sekiranya terdapat kekhilafan atau kekeliruan dalam penyampaian berkaitan para sahabat Rasulullah ﷺ.
Perkara melibatkan Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar Al-Khattab RA hendaklah ditangani dengan penuh adab, ilmu dan berhati-hati kerana kedua-duanya merupakan sahabat agung yang sangat dimuliakan dalam Islam serta dijanjikan syurga oleh Rasulullah ﷺ.
Allah SWT berfirman:
“Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata: Wahai Tuhan kami, ampunkanlah kami dan saudara-saudara kami yang lebih dahulu beriman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki terhadap orang-orang yang beriman.” (Surah al-Hasyr: 10)
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Janganlah kamu mencela para sahabatku…” — Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dan sabda Baginda ﷺ:
“Abu Bakar di syurga, Umar di syurga…” — Riwayat al-Tirmizi
Justeru, sebarang kisah yang tidak sahih, tidak tepat atau boleh membawa salah faham terhadap kemuliaan para sahabat Nabi ﷺ sewajarnya diperbetulkan dan tidak diulang kembali dalam ceramah atau penyampaian umum. Pendakwah dan penceramah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan setiap fakta sejarah dan agama disampaikan secara amanah, berautoriti serta tidak menimbulkan fitnah kepada tokoh-tokoh Islam yang dimuliakan.
Dalam masa yang sama, umat Islam diseru untuk terus berakhlak dengan tenang, matang dan berlapang dada dalam menegur, serta mengutamakan pendekatan hikmah dan nasihat yang baik demi menjaga kesatuan umat dan kemuliaan agama Islam.
USTAZ SYAHID ZAINI
BIRO PEMAHAMAN DAN PEMANTAPAN AGAMA MPN PERAK
PARTI KEADILAN RAKYAT MALAYSIA
#keadilanbukitgantang #keadilanperak
#bippa

No comments:
Post a Comment