KALAH DI SUNGAI BAKAP PETUNJUK MASA DEPAN YANG GELAP BUAT ANWAR



PRK Dun Sungai Bakap adalah pilihan raya kecil kelapan yang diadakan selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.


Sebelum ini PRK telah berlangsung di Kuala Terengganu, Pulai, Simpang Jeram, Pelangai, Jepak, Kemaman dan Kuala Kubu Bharu.


Meskipun PRK Sungai Bakap adalah yang kelapan diadakan, tetapi ia merupakan yang pertama kali ditandingi oleh PKR, parti yang menerajui gabungan PH.


Dalam konteks parti Semenjung yang membentuk kerajaan perpaduan, Amanah, DAP dan UMNO telah berjaya mengecapi kejayaan dalam PRK yang mereka sertai sebelum ini.


Namun, berbeza sekali buat PKR, selain pertama kali menyertai PRK di Sungai Bakap, apa yang lebih malang ialah pengalaman pertama itu ditimpa dengan kekalahan dan bukan kemenangan.


Sudahlah begitu, majoriti kekalahan yang diterima dalam PRK kali ini juga lebih besar berbanding PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.


Dalam PRN lalu, PKR tewas di Sungai Bakap dengan kekurangan 1,563 undi, tapi semalam jumlah kekurangan itu menokok kepada 4,267 undi.


Jika ikut logik, terutama kerana Sungai Bakap adalah tempat kelahiran Anwar; Pengerusi PKR Pulau Pinang ialah Nurul Izzah (anak Anwar); Ahli Palimen Nibong Tebal di mana terletaknya Dun Sungai Bakap merupakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengarah Pilihan Raya ialah Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi merangkap Timbalan Presiden PKR; ditambah dengan calon PH, Dr Joohari Ariffin adalah seorang yang berkelulusan tinggi, hakikatnya tak masuk akal sama sekali kekalahan boleh menimpa.


Selain itu, menteri-menteri yang turun berkempen, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sendiri, boleh dikata paling ramai sekali berbanding semua PRK yang lain.


Pengumuman projek-projek pembangunan dan bantuan yang dihulurkan pula tidak kurang meriahnya.


Mengapa akhirnya boleh kalah juga?


Tanpa ragu-ragu boleh disimpulkan kekalahan calon PKR di Sungai Bakap adalah disebabkan isu-isu nasional seperti kenaikan harga diesel, Blackrock dan kepimpinan Anwar yang dilihat gagal mengemudi negara menjadi lebih baik.


Peratusaan keluar pengundi Cina yang rendah, jauh berbanding Kuala Kubu Bharu adalah mesej penolakan kaum tersebut terhadap Anwar, khusus dalam soal ekonomi yang tidak menampakkan keadaan berubah kepada lebih baik berbanding sebelumnya.


Ditambah lagi dengan kenaikan harga diesel yang tinggi yang menyebabkan ramai peniaga-peniaga Cina terjejas, menambah lagi kesedapan penolakan itu.


Ramai kawan-kawan Cina saya yang berniaga turut mengeluh dan merungut tentang langkah memulihkan ekonomi Anwar yang mereka lihat belum menampakkan apa-apa hasil setakat ini.


Dengan itu, bagi saya mesej penolakan kaum Cina melalui peti undi di Sungai Bakap adalah peringatan pertama mereka yang tidak boleh dipandang ringan oleh Anwar.


Pengundi Melayu, selain lebih menerima PN berbanding PH sejak PRU15, diteruskan lagi dalam PRN enam negeri, keputusan di Sungai Bakap memperlihatkan kerajaan madani masih gagal menambat hati serta jiwa mereka.


Keadaan bertambah buruk bila mana sebahagian besar orang Melayu yang dulunya menaruh harapan terhadap Anwar, kini sudah ramai yang putus asa kerana mereka melihat Anwar tetap “Anwar yang dahulu” yang lebih gemar menonjolkan diri sebagai sosok populis dengan mengulang-ulang ungkapan sakau, rasuah, tatakelola dan sebagainya, tetapi semakin lupa terhadap janji-janji sebelum berkuasa, baik janji lama mahupun janji baru yang disebutnya pada dua tiga tahun lepas.


Di samping orang Melayu kekal dengan keselesaan mahu “Kerajaan Melayu” mentadbir negara ini, keyakinan mereka juga masih kuat bahawa PH lebih dipengaruhi oleh DAP dalam beberapa pendekatan seperti cubaan mengiktiraf kampung baru Cina sebagai tapak warisan Unesco, jaminan penempatan di matrikulasi untuk semua kaum yang mendapat 10A dalam SPM dan sebagainya.


Isu ini meletakkan mereka semakin menjauhi Anwar dan kerajaan madani ini lantaran merasakan kedudukan Melayu semakin tidak selamat ketika ini.


Jika keadaan masih tidak berubah selepas ini dan Anwar tidak melakukan perubahan drastik, amatlah sukar untuk meyakini PH mampu kekal lagi bersama kuasa selepas PRU16 akan datang.


Sungai Bakap adalah petunjuk tidak baik kepada masa depan PH dan jalan di hadapan sebenarnya lebih gelap buat Anwar.


Anwar jangan terlalu mengejar sokongan Ahli-Ahli Parlimen semata-mata sehingga mengabaikan untuk menarik sokongan pengundi melalui bagaimana untuk memastikan rakyat tidak semakin koyak poket mereka di bawah label madani ini,


Ungkapan menerima kekalahan dan suara rakyat dihormati tidak memberi sebarang makna jika beban kesusahan tetap datang menimpa di sebalik apa saja dasar atau pendekatan kerajaan selepas Sungai Bakap ini.- ShahbudinHusin 07Julai2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/07/kalah-di-sungai-bakap-petunjuk-gelap-buat-masa-depan-anwar.html



No comments: