MENGGODA ISTERI ORANG ADALAH PERBUATAN TIDAK BERTAMADUN DAN HUKUMNYA ADALAH HARAM




1. Islam mengharamkan lelaki meminang seorang perempuan yang berada dalam edah secara tasrih (jelas) sama ada talak raj'ie, bain atau kematian suami.


2. Sekiranya perempuan itu dalam edah talak raj'ie, adalah haram seseorang lelaki cuba meminangnya dengan cara tasrih atau kiasan. Ini kerana perempuan itu masih dianggap milik suaminya dalam ertikata beliau boleh merujuk isterinya pada bila² masa. Hal ini berdasarkan ayat :


وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلاحا) (البقرة : 228)


3. Jika berada dalam edah baain dan kematian suami, syarak membenarkan perempuan itu dipinang secara secara kiasan dengan menggunakan lafaz² yang menunjukkan keingin bernikah secara jelas. Keharusan ini dinyatakan dalam ayat :


وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُمْ بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنْتُمْ فِي أَنْفُسِكُمْ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لَا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلًا مَعْرُوفًا وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنْفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ (البقرة : 235) 


Rumusan daripada penjelasan di atas, perempuan² yang bersuami termasuk dalam kategori mereka yang diharamkan kawin (المحرمات من نكاحهن) dan dipinang oleh mana-mana lelaki ajnabi.  Sekiranya semasa edah raj'ie pun haram, apatah lagi jika perempuan itu masih bersuami. Para ulama seperti Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah menyatakan perbuatan menggoda isteri orang merupakan maksiat paling keji (اقبح المعاصي).


Jika perkahwinan yang baik itu pun diharamkan apatah lagi menggoda atau mengoratnya untuk tujuan melakukan zina sudah pasti hukumnya lebih berat. Perbuatan seperti ini bertentangan dengan maqasid syariah yang menjaga kemuliaan nasab dan keharmonian institusi kekeluargaan.


Lelaki yang sengaja mengahwini perempuan dalam edah adalah tidak sah dan wajib dibubarkan menurut ijmak ulama sehingga edahnya tamat. Namun untuk dia berkahwin semula selepas habis edah, majoriti ulama  membenarkan mereka berkahwin. Ini pendapat jadid Imam al-Syafie. Menurut pendapat Imam Malik, satu riwayat Imam Ahmad dan qawl qadim Imam Syafie, pasangan tersebut tidak boleh berkahwin semula selama-lamanya sebagai hukuman keras kerana tergesa² memperolehi sesuatu sebelum tiba masanya berdasarkan kaedah من استعجل شيئا قبل اوانه عوقب بحرمانه.


Sehubungan perkara di atas, undang-undang (Seksyen 498 Kanun Keseksaan) pada zaman penjajah yang menjenayahkan perbuatan mana-mana lelaki yang menggoda isteri orang lain adalah lebih menepati hukum Islam berbanding keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskannya sebagai tidak berpelembagaan kerana disifatkan sebagai suatu diskriminasi ke atas wanita.


Walaupun asal muasal undang² kita dibuat oleh British, janganlah sampai hilang akal untuk tafsirkan semua peruntukan itu seolah² negara Malaysia kita ini bukan negara Islam. Undang² adalah buta, maka para hakim berikanlah petunjuk yang benar.


Institusi kekeluargaan di Malaysia termasuk dalam kalangan bukan Islam akan huru hara jika isteri orang boleh diajak berzina sesuka hati!


Dr HK

16.12.2023