PM umum tambah 1 bilion unit saham AHB


 Golongan bumiputera kini berpeluang memiliki benefisial ke atas pasaran hartanah di lokasi-lokasi utama di negara ini.


Ia susulan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengumumkan penambahan satu bilion unit saham Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan bagi langganan umum.


Penambahan dana itu menawarkan peluang kepada bumiputera untuk menyimpan dan melabur terutamanya sebagai perancangan persaraan.


"Hari ini saya luncurkan satu bilion skim tambahan AHB, ini merupakan lonjakan yang agak besar, meningkatkan saiznya menjadi lima bilion unit," katanya dipetik ketika berucap pada majlis pelancaran Unit Tambahan Dana AHB, di Kuala Lumpur.


Unit tambahan yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah hasil suntikan daripada aset terkini Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) iaitu Hospital Pakar KPJ Damansara 2, Mariborough College di Iskandar Puteri dan penilaian semula bangunan Menara 1 Sentrum di ibu negara, Wisma Consplant, Subang Jaya dan Maersk Warehouse, yang dulu dikenali LF Logistics Warehouse, Shah Alam.


Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Yayasan AHB (YAHB) berkata, jumlah pelaburan maksimum yang sebelum ini dihadkan kepada RM500,000 kini dinaikkan kepada RM1 juta bagi pelabur individu.


Sementara itu, Pengerusi PHB, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh ketika berucap pada majlis sama memberitahu, orang ramai yang berminat untuk melanggan unit AHB itu boleh ke mana-mana cawangan pengedar sah PHB di seluruh negara termasuk di Maybank, Ambank Islamic dan Bank Islam.


Beliau memberitahu pelaburan minimum ditetapkan pada pada kadar RM100 bagi setiap individu sementara jumlah maksimum adalah RM500,000.


"Mereka juga boleh menyemak pegangan unit semasa, melanggan unit baharu atau menebus unit sedia ada melalui aplikasi myAHB," tambahnya.

No comments: