ELOK ANWAR TUTUP SAJA PERBINCANGAN, PERUNTUKAN DANA KERAJAAN KEPADA AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG TIDAK PERLU DIBERIKAN

 

Isu sama ada perlu atau tidak kerajaan memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang terus menjadi perdebatan tanpa jawapan.

Bagi Perdana Menteri, pendirian beliau adalah jelas iaitu jika Ahli Parlimen blok pembangkang inginkan peruntukan bagi menjaga kawasan masing-masing, mereka harus datang dan berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan.

Ertinya, kerajaan tak boleh dan tak akan memberi peruntukan begitu saja kepada Ahli Parlimen pembangkang tanpa apa-apa perbincangan, persefahaman atau perjanjian.

Dalam hal ini, Anwar Ibrahim mengimbas bagaimana ketika PH menjadi pembangkang di era kepimpinan Ismail Sabri Yaaakob dahulu di mana beliau sebagai Ketua Pembangkang telah mengusahakan agar suatu MoU ditandatangani dengan pihak kerajaan.

Berikutan adanya MoU itu, maka sebagaimana Ahli Parlimen kerajaan dapat peruntukan, Ahli Parlimen pembangkang juga memperolehinya.

Masalahnya sekarang ini, walaupun Anwar telah menyebut perkara ini sejak awal beliau menjadi jawatan Perdana Menteri lagi, namun blok pembangkang langsung tidak memberi respon mengenainya.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof yang diberi mandat untuk mewakili kerajaan bagi tujuan perbincangan, memaklumkan bahawa sehingga ini belum ada mana-mana kumpulan Ahli Parlimen blok pembangkang datang menemuinya.

Kenapa begitu, adakah mereka tidak mahu peruntukan daripada kerajaan?

Kalau tidak perlukan peruntukan daripada kerajaan, kenapa ada Ahli Parlimen mereka mengeluh dalam Parlimen tentang ketidakmampuan menjaga kawasan dan membantu rakyat, waima untuk membuka pusat khidmat sekali pun?

Atau mereka mahu diberi peruntukan itu tanpa sebarang syarat?

Dalam hal ini, meskipun Anwar ternampak masih mempunyai ihsan serta rahmah ingin memberi juga peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, hanya dengan syarat mereka perlu datang berbincang dengan Fadillah terlebih dahulu, daripada segi politik dan kepentingan parti yang menjadi kerajaan, peruntukan itu sebenarnya tidak harus diberikan sama sekali.

Permintaan PN tidak harus dilayan dan hanya Ahli Parlimen kerajaan saja yang patut layak mendapat peruntukan.

Oleh kerana parti-parti perlu bertanding setiap lima tahun sekali dalam PRU, adalah penting untuk ditunjukkan kepada rakyat bahawa ada beza antara Ahli Parlimen kerajaan dengan Ahli Parlimen pembangkang dalam tempoh lima tahun berkenaan.

Jika diberi peruntukan yang sama dan tiada perbezaan daripada segi kemampuan berkhidmat kepada rakyat, Ahli Parlimen pembangkang akan berpotensi terus menang dalam PRU setiap lima tahun lantaran rakyat langsung tidak merasa ada beza diwakili wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.

Ini jelas bukanlah suatu keadilan bagi parti yang menang PRU dan menjadi kerajaan, sebaliknya semacam memberi keistimewaan kepada parti pembangkang.

Lebih buruk dan terkutuk, disebabkan diberi peruntukan seperti suatu kewajipan oleh kerajaan itu, ia tidak menjadikan Ahli Parlimen pembangkang ada rasa bersalah walau hari-hari mereka mengutuk, memaki hamun dan mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Dalam erti kata lain , dengan memberi peruntukan itu juga menjadikan PRU yang diadakan setiap lima tahun untuk memilih Ahli Parlimen dan parti bagi menjadi kerajaan, sudah tidak bermakna lagi.

Cuma dalam hal ini, rakyat yang membuat pilihan memilih Ahli Parlimen pembangkang tidaklah harus dihukum dan dinafikan hak mereka menikmati pembangunan dan kehidupan yang sama seperti pengundi di kawasan lain.

Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan harus melantik penyelia, penyelaras atau apa-apa nama jawatan lain di setiap kawasan yang dimenangi parti pembangkang itu.

Melalui mereka itulah disalurkan segala peruntukan untuk rakyat sebagai mewakili parti yang sedang memerintah.

Dengan itu, rakyat akan nampak ada perbezaaan antara kawasan yang diwakili wakil rakyat kerajaan dengan diwakli pembangkang, sekaligus memungkinkan parti yang mewakili kerajaan boleh menang dalam PRU yang seterusnya.

Ini baru demokrasi dan keadilan.

Mungkin ada yang berkata, kenapa kerajaan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu yang ditadbir PN baru-baru ini boleh mengumumkan akan memberi peruntukan yang sama kepada semua wakil rakyatnya, termasuk daripada pembangkang?

Jangan kita cepat terpedaya, tiga kerajaan negeri itu sebetulnya baru saja bersikap pemurah sedemikian kerana kerusi yang dimenangi pembangkang amat sedikit iaitu dua di Kedah, dua juga Kelantan dan kosong di Terengganu.

Adakah penggal sebelum ini di mana pembangkang ada banyak kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah – peruntukan sama rata seperti itu diberikan?

Selain itu, ketika Mahiaddin Md Yasin yang merupakan Pengerusi PN jadi Perdana Menteri sebelum Ismail Sabri, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen turut tidak pernah menjadi amalan.

Beberapa Ahli Parlimen UMNO sendiri, misalnya Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan Ahmad Maslan pernah dipetik media memaklumkan tidak mendapat peruntukan, walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan ketika era Mahiaddin itu.

Sekarang bila tiba-tiba PN gegak gempita mahu peruntukan sama rata, ehhh…sembang kari apa mereka ini?

Seeloknya Anwar tutup saja perbincangan isu ini, lebih baik cepatkan lantik penyelia atau penyelaras yang disebutkan tadi. ShahbudinHusin 21/09/2023.

https://shahbudindotcom.net/#google_vignette

 

No comments: