Isu sama ada perlu atau tidak kerajaan memberi peruntukan kepada
Ahli Parlimen pembangkang terus menjadi perdebatan tanpa jawapan.
Bagi Perdana Menteri, pendirian beliau adalah jelas iaitu jika
Ahli Parlimen blok pembangkang inginkan peruntukan bagi menjaga kawasan
masing-masing, mereka harus datang dan berbincang terlebih dahulu dengan
kerajaan.
Ertinya, kerajaan tak boleh dan tak akan memberi peruntukan
begitu saja kepada Ahli Parlimen pembangkang tanpa apa-apa perbincangan, persefahaman
atau perjanjian.
Dalam hal ini, Anwar Ibrahim mengimbas bagaimana ketika PH
menjadi pembangkang di era kepimpinan Ismail Sabri Yaaakob dahulu di mana
beliau sebagai Ketua Pembangkang telah mengusahakan agar suatu MoU
ditandatangani dengan pihak kerajaan.
Berikutan adanya MoU itu, maka sebagaimana Ahli Parlimen
kerajaan dapat peruntukan, Ahli Parlimen pembangkang juga memperolehinya.
Masalahnya sekarang ini, walaupun Anwar telah menyebut perkara
ini sejak awal beliau menjadi jawatan Perdana Menteri lagi, namun blok
pembangkang langsung tidak memberi respon mengenainya.
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof yang diberi mandat
untuk mewakili kerajaan bagi tujuan perbincangan, memaklumkan bahawa sehingga
ini belum ada mana-mana kumpulan Ahli Parlimen blok pembangkang datang
menemuinya.
Kenapa begitu, adakah mereka tidak mahu peruntukan daripada
kerajaan?
Kalau tidak perlukan peruntukan daripada kerajaan, kenapa ada
Ahli Parlimen mereka mengeluh dalam Parlimen tentang ketidakmampuan menjaga
kawasan dan membantu rakyat, waima untuk membuka pusat khidmat sekali pun?
Atau mereka mahu diberi peruntukan itu tanpa sebarang syarat?
Dalam hal ini, meskipun Anwar ternampak masih mempunyai ihsan
serta rahmah ingin memberi juga peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen
pembangkang, hanya dengan syarat mereka perlu datang berbincang dengan Fadillah
terlebih dahulu, daripada segi politik dan kepentingan parti yang menjadi
kerajaan, peruntukan itu sebenarnya tidak harus diberikan sama sekali.
Permintaan PN tidak harus dilayan dan hanya Ahli Parlimen
kerajaan saja yang patut layak mendapat peruntukan.
Oleh kerana parti-parti perlu bertanding setiap lima tahun
sekali dalam PRU, adalah penting untuk ditunjukkan kepada rakyat bahawa ada
beza antara Ahli Parlimen kerajaan dengan Ahli Parlimen pembangkang dalam
tempoh lima tahun berkenaan.
Jika diberi peruntukan yang sama dan tiada perbezaan daripada
segi kemampuan berkhidmat kepada rakyat, Ahli Parlimen pembangkang akan
berpotensi terus menang dalam PRU setiap lima tahun lantaran rakyat langsung
tidak merasa ada beza diwakili wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.
Ini jelas bukanlah suatu keadilan bagi parti yang menang PRU dan
menjadi kerajaan, sebaliknya semacam memberi keistimewaan kepada parti
pembangkang.
Lebih buruk dan terkutuk, disebabkan diberi peruntukan seperti
suatu kewajipan oleh kerajaan itu, ia tidak menjadikan Ahli Parlimen
pembangkang ada rasa bersalah walau hari-hari mereka mengutuk, memaki hamun dan
mahu menjatuhkan Perdana Menteri.
Dalam erti kata lain , dengan memberi peruntukan itu juga
menjadikan PRU yang diadakan setiap lima tahun untuk memilih Ahli Parlimen dan
parti bagi menjadi kerajaan, sudah tidak bermakna lagi.
Cuma dalam hal ini, rakyat yang membuat pilihan memilih Ahli
Parlimen pembangkang tidaklah harus dihukum dan dinafikan hak mereka menikmati
pembangunan dan kehidupan yang sama seperti pengundi di kawasan lain.
Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan harus melantik penyelia,
penyelaras atau apa-apa nama jawatan lain di setiap kawasan yang dimenangi
parti pembangkang itu.
Melalui mereka itulah disalurkan segala peruntukan untuk rakyat
sebagai mewakili parti yang sedang memerintah.
Dengan itu, rakyat akan nampak ada perbezaaan antara kawasan
yang diwakili wakil rakyat kerajaan dengan diwakli pembangkang, sekaligus
memungkinkan parti yang mewakili kerajaan boleh menang dalam PRU yang
seterusnya.
Ini baru demokrasi dan keadilan.
Mungkin ada yang berkata, kenapa kerajaan negeri Kelantan, Kedah
dan Terengganu yang ditadbir PN baru-baru ini boleh mengumumkan akan memberi
peruntukan yang sama kepada semua wakil rakyatnya, termasuk daripada
pembangkang?
Jangan kita cepat terpedaya, tiga kerajaan negeri itu sebetulnya
baru saja bersikap pemurah sedemikian kerana kerusi yang dimenangi pembangkang
amat sedikit iaitu dua di Kedah, dua juga Kelantan dan kosong di Terengganu.
Adakah penggal sebelum ini di mana pembangkang ada banyak kerusi
di Kelantan, Terengganu dan Kedah – peruntukan sama rata seperti itu diberikan?
Selain itu, ketika Mahiaddin Md Yasin yang merupakan Pengerusi
PN jadi Perdana Menteri sebelum Ismail Sabri, peruntukan sama rata kepada semua
Ahli Parlimen turut tidak pernah menjadi amalan.
Beberapa Ahli Parlimen UMNO sendiri, misalnya Zahid Hamidi,
Nazri Aziz dan Ahmad Maslan pernah dipetik media memaklumkan tidak mendapat
peruntukan, walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan ketika era
Mahiaddin itu.
Sekarang bila tiba-tiba PN gegak gempita mahu peruntukan sama
rata, ehhh…sembang kari apa mereka ini?
Seeloknya Anwar tutup saja perbincangan isu ini, lebih baik
cepatkan lantik penyelia atau penyelaras yang disebutkan tadi. ShahbudinHusin
21/09/2023.
https://shahbudindotcom.net/#google_vignette