PAS KHIANAT PERJUANGAN SANJUNG TUN M DI PENTAS CERAMAH





 

Pas telah membuang semangat juang yang diasaskan sejak lebih 3 dekad lalu menganggap Tun Mahathir sebagai musuh utama kerana menyebabkan tragedi Memali yang mengorbankan 13 syuhada dalam operasi menangkap ustaz Ibrahim Libya, apabila membawa bekas Perdana Menteri itu berucap di pentas ceramah Pas di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam tadi.

Bagi Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, tindakan Pas terbaharu ini terang terangan mengkhianati semangat juang politik Islam era kepimpinan ulama Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Zinda Khalil menyifatkan Pas kini berada dalam persimpangan ideologi yang amat tenat kerana tunduk kepada Tun Mahathir yang tidak pernah meminta maaf kepada ahli Pas atau mengaku beliau tidak lagi berideologi liberal-sekular untuk diberi penghormatan menjadi sebahagian pimpinan jemaah Pas-PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Sekarang kita tengok PN tenat apabila Hj Hadi pergi jumpa Tun M untuk kerjasama dalam PRN kali ini

“Kita tengok PN terutama Pas semakin risau dengan keadaan semasa, di mana Pas sudah melanggar habis prinsip perjuangannya apabila bekerjasama dengan Tun M.

“Kita tahu sebelum ini apa yang mereka tak kata kepada Tun M. Kepala liberal dan macam macam lagi.

“Sekarang Pas sanggup ‘jilat ludah’ demi kepentingan politik mereka. Bukan kepentingan perjuangan Islam. Sebelum ini Tun M macam macam kata kepada Pas, parti sesat, kes Memali dan macam macam lagi,” kata Zinda Khalil kepada Suara Keadilan.

Menurut beliau, rakyat Kelantan pada amnya mula mual dengan tingkah laku Pas yang melupakan perjuangan menolak asabiyah Melayu yang menjadi tunjang kekuatan Tun Mahathir.

Pas, katanya, bukan sahaja lemah dalam mentadbir negeri tetapi berbolak balik dan tidak lagi konsisten dengan perjuangan Islam.

Tegas Zinda Khalil, Tun Mahathir bukanlah orang yang sesuai untuk berada di atas pentas Pas kerana menjelang Pilihan Raya Umum tahun lalu pemimpin itu pernah menyatakan Pas parti kafir dan beliau tidak menarik balik tuduhan itu.

“Tun M sebelum ini pernah menyatakan Pas parti kafir. Hari ini kita tengok bahawa orang yang mengatakan Pas parti kafir itu ke pentas bersama pemimpin Pas. Bercakap bagi pihak Pas.

“Bermakna Pas sekarang ini tak ada nilai langsung perjuangannya, jauh beza dengan apa yang dibawa mereka sebelum ini,” kata Zinda lagi.

Tun Mahathir dalam satu sidang media tahun lalu pernah mendakwa Pas parti kafir kerana parti itu sanggup bekerjasama dengan UMNO yang berdekad lalu mereka telah kafirkan.

“Parti Pas ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. …dahulu Pas kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

“Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, …dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir.

“Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran Pas, Pas sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama Pas itu adalah kafir,” kata Tun Mahathir dipetik Berita Harian bertarikh 16 September 2022.



No comments: