ANNUAR MUSA TIDAK JADI CALON, BERITA PALING SEDIH PAGI INI!!

 

Semua parti yang akan menyertai PRN kali ini dilihat sudah mengumumkan secara rasmi calon masing-masing untuk dipertaruhkan bagi mencipta kemenangan yang diidam-idamkan.

Bagaimanapun, melihat semua senarai tersebut, baik dalam PH/BN atau PN, saya tidak dapat mengelak dan menyembunyikan bahawa ada perasaan sedih tiba-tiba menyelinap di sudut dada.

Malah, saya dapat merasakan mungkin ada orang lain juga turut berperasaan yang sama.

Kesedihan itu tidak lain ialah kerana Annuar Musa, tokoh terbilang UMNO Kelantan yang sudah dipecat dan kini memilih Pas sebagai wadah baru perjuangannya, langsung tidak diselitkan sebagai calon dalam PRN kali ini.

Meski dalam konteks kedua-dua gabungan iaitu PH/BN dan PN, banyak nama-nama lain yang turut digugur, tidak dicalonkan atau diketepikan, tetapi ketiadaan nama Annuar sebagai calon terasa lain benar rasa di hati.

Aduhhh….rasa mahu menitik air mata pun ada mengenangkan nasib Annuar pada PRN kali ini.

Walaupun Annuar sebelum ini pernah menyebut tidak mengapa kalau beliau tidak dicalonkan oleh Pas, tetapi itu sebenarnya tidak lebih merupakan manis mulut orang politik dalam berkata semata-mata.

Sebagai seorang pemimpin yang selalu lantang dan kerap meletakkan dirinya di barisan hadapan ketika medan peperangan, tidak sukar memahami bahawa menjadi calon dan bergelar YB adalah impian seseorang seperti Annuar.

Dengan menjadi calon, lebih-lebih lagi di negeri yang hampir pasti boleh menang, bersama gelaran YB juga kemudiannya tentu membolehkan seseorang itu boleh melangkah lebih jauh, baik dalam dalam apa-apa gerakan politik atau manfaat beroleh jawatan dalam kerajaan di mana-mana peringkat sekali pun.

Apa lagi, mengenali sosok seperti Annuar, beliau bukan memuliki ghairah yang biasa-biasa dalam apa jua langkah politik yang diceburinya.

Lagi pula, jika benar Annuar tidak berhasrat menjadi calon, beliau tentunya berbuat seperti Noh Omar atau Khairy Jamaluddin yang tidak menyertai mana-mana parti setelah dipecat daripada UMNO.

Auranya, hebat berpidato, lantang, berani, rajin dan tidak pernah kenal penat – adalah keistimewaan yang tidak banyak dimiliki oleh orang-orang poltiik di negara ini.

Sayang sekali, Pas dalam hal ini seolah-olah tidak nampak kelebihan serta keistimewaan yang ada pada Annuar.

Bersama pengalaman seperti bekas menteri yang sentiasa berjaya menghirupkan setiap kementerian yang diterajuinya, di samping sepak terajang politiknya yang luas dalam UMNO, meletakkan Annuar sebagai calon PRN adalah suatu keuntungan berganda buat parti itu untuk membawa masa depan yang lebih baik bagi Kelantan.

Segala ilmu, pengalaman, kemahiran serta kelebihan yang ada pada Annuar sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh Pas untuk mereka melangkah lebih jauh sebagai parti yang dilihat mampu menawarkan kepakaran teknokrat untuk memajukan negeri itu.

Keyakinan bahawa Annuar akan dipilih sebagai calon, selain disebabkan penyertaannya ke Pas dibuat sebelum berlangsungnya PRN dan kemudian disusuli dengan super aktifnya berceramah ke sana sini, ia juga didorong keghairahan bekas menteri itu memuat-naik gambar-gambarnya pusing keliling kampung dengan menaiki motorsikal klasik beroda tiga yang tidak murah harganya itu sejak kebelakangan ini.

Dalam hati saya membayangkan, pastilah dalam kempen nanti, Annuar akan menggunakan lebih banyak motorsikal itu berbanding menaiki kereta untuk gerakan kempennya.

Seterusnya saya membayangkan lagi bagaimana Annuar dengan jubah dan kopiah putihnya menaiki motorsikal untuk berjumpa dan menyapa pengundi dan itu tentunya mencetuskan fenomena yang diperkatakan di seluruh negara.

Terbayang juga di minda saya bagaimana lebih menarik lagi jika Annuar turut menukar warna motorsikal klasiknya itu daripada merah kepada hijau iaitu warna rasmi parti barunya.

Ahhh…tapi semuanya hanya tinggal bayangan tanpa ketahuan saja kini.

Yang tiba-tiba datang menerpa – masih adakah lagi masa depan Annuar dalam Pas selepas ini? – ShahbudinHusin 28/07/2023.




1 comment:

Anonymous said...

kali ni dia jadi "tok joro dikir" saja atau tukang karut, bermakna berakhirnya nyawa politik beliau