Amanah tolak kerjasama dengan PN
Parti Amanah Negara (Amanah) menolak total sebarang kerjasama yang dicadangkan oleh Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, parti itu tidak boleh mengadakan kerjasama dengan Bersatu yang dasar parti mereka tidak salah untuk melompat membentuk kerajaan dengan mana mana gabungan setelah mendapat mandat rakyat.
Bagaimanapun, kata Khalid, kerjasama dengan parti parti pembangkang yang tidak khianat lain diperlukan bagi menghadapi persaingan 3 hingga 4 penjuru dalam PRU 15.
“Kita anggarkan keadaan 3 penjuru tidak dapat dielakkan. 3 penjuru paling sikit. Harapan kita, kita dapat kurangkan jumlah penjuru itu kerana kalau berpecah ianya akan merugikan.
“Dalam persoalan ini garis panduan kita jelas, yang lompat tidak akan diterima. Ada Tan Sri Muhyiddin menawarkan kerjasama dengan PH.
“Kita nampak Pas pula nak bersama dengan Umno, Bersatu nak dengan PH.
“Tetapi pendirian Amanah kita tak boleh terima PN, Bersatu atau Pas sebagai rakan kita hadapi BN kerana Bersatu telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka boleh lompat. Tindakan lompat itu tak salah. Kalau kita kerjasama dengan mereka bagaimana kita boleh jamin mereka akan kekal bersama setelah kita membantu mereka menang,” katanya dalam sidang media semalam.
Menurut Khalid lagi, banyak pihak yang menyatakan pembangkang di luar Pakatan Harapan (PH) adalah pengkhianat atau memiliki sifat pengkhianat, sedangkan faktanya mereka tidak menyertai kerajaan gabungan BN – PN.
“Kita nak kerjasama dengan pembangkang yang sehingga hari ini tak khianat. Ini kita kena akui. Sedangkan mereka ditawarkan, Syed Sadiq pernah ditawarkan. Kita tahu Warisan pun ditawarkan. Mereka tidak khianat. Kita perlu menghargai sikap mereka bersama pembangkang dan kita kerjasama untuk pastikan BN dan PN dikalahkan,” katanya.
Mengenai soalan wartawan, adakah Gerakan Tanah Air (GTA) akan diterima dalam aliansi PH plus sekiranya terjadi, Khalid berkata GTA hanya mempunyai sedikit pengaruh.
Namun katanya, pengaruh yang sedikit itu dengan mengambil undi dari Umno, Pas dan Bersatu jika tidak ditambah ke dalam undi PH tetap tidak akan memenangkan PH.
“Dalam Pilihan Raya Negeri Johor (contohnya) ada calon kita kalah 200 undi dan calon Pejuang dapat 200 undi.
“Dalam hal ini ada keperluan pembangkang disatukan untuk memaksimakan undi mengalahkan BN,” katanya lagi.