Untuk apa tunggu 4 tahun pinda Akta Orang Asli?
Orang Asli bukan sahaja terpinggir daripada arus pembangunan negara tetapi akibat perundangan yang lemah, kawasan rayau mereka juga sering diceoroboh dan kebanyakan suku kaum berkenaan dirugikan sama ada dari segi mata pencarian atau sumber kehidupan hutan.
Hal ini, menurut mantan Senator, Bob Manolan Mohamad adalah disebabkan pindaan Akta 134, Akta Orang Asli 1954 yang sepatutnya telah diselesaikan pada awal 2000 lalu tidak diberi keutamaan oleh kerajaan BN.
Manakala pada ketika ini, katanya kerajaan BN – PN pula sengaja melewat lewatkan pindaan sehingga ke tahun 2025.
“Saya merujuk laporan Malaysiakini dan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Penghulu di Cheras pada 21 Julai lalu.
“Kenyataan Menteri itu menegaskan kementerian akan memulakan kajian pindaan Akta 134 mulai akhir tahun ini dan akan diselesaikan pada tahun 2025 adalah amat dikesali. Ia ibarat luka lama yang tidak diubati kepada masyarakat Orang Asli.
“Pada masa kini lebih banyak permasalahan yang dihadapi Orang Asli yang memerlukan tindakan segera. Seperti pencerobohan tanah, isu pampasan tanah, status Orang Asli dan sebagainya (yang tidak boleh menunggu lebih lama),” katanya dalam satu kenyataan
Menurut Bob Manolan yang pernah mengetuai Biro Orang Asal KEADILAN, pindaan Akta 134 tersebut hakikatnya telah pun dibincangkan dalam pelbagai kalangan dan draf cadangan telah disiapkan hasil konsultasi di antara Masyarakat Orang Asli, Majlis Peguam serta NGO-NGO Orang Asli.
Tiada sebab, katanya, akta itu memerlukan tempoh 4 tahun lagi sebelum dipinda.
“Kenapa pihak Menteri perlu menunggu sampai 4 tahun? Sedangkan sejak tahun 2001 dan pada tahun 2010 kerajaan telah berjanji akan membawa ke Parlimen pindaan Akta 134.
“Semasa Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya pihak JAKOA telah memasukkan Akta 134 dalam senarai untuk pindaan.
“Menteri yang bertanggungjawab juga telah mengadakan perbincangan dan hasilnya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Menteri,” katanya.
Justeru, Bob Manolan mahu penyelesaian segera dilakukan dengan mengangkat drat pindaan yang telah tersedia pada era PH untuk diluluskan di Dewan Rakyat kerana masyarakat Orang Asli telah menunggu lebih 20 tahun untuk akta tersebut diperbaiki.
“Saya menggesa agar menteri mengkaji semula draf pindaan tersebut dan dengan kadar segera membawa ke parlimen, paling lewat tahun hadapan,” katanya lagi.