Pemimpin AMK anggap MUDA manja, tanding kerusi mudah di PRN Johor

 Pemimpin AMK anggap MUDA manja, tanding kerusi mudah di PRN Johor





Pemimpin AMK anggap MUDA manja, tanding kerusi mudah di PRN Johor

JOHOR BAHRU: Kekuatan sebenar Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), jika parti diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sekadar bertanding di kerusi mudah atau pasti menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad, berkata adalah sangat relevan jika MUDA diberi peluang menonjolkan kehebatan dan menterjemahkan populariti mereka bertanding kerusi di bahagian pantai timur Johor yang agak sukar, termasuk Penawar, Tanjung Surat, Tenggaroh, Sedili atau Johor Lama.

"Waktu itu, barulah kita boleh lihat sejauh mana MUDA boleh bertahan dalam dunia politik, barulah kita boleh ukur kekuatan jentera mereka, barulah kita boleh nilai sama ada betul atau tidak orang Johor kenal MUDA. Selama ini kita dengar mereka kuat di media sosial, tapi belum tentu popular di dunia nyata, terutamanya di mata orang Johor.

"MUDA sepatutnya selari dengan sifat yang ada pada namanya. Orang muda sinonim dengan sifat berani, sukakan cabaran baharu dan berasa yakin. Jadi, MUDA kenalah yakin bahawa mereka boleh beri cabaran sengit atau menang di kerusi yang saya sebutkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, MUDA dilapor diperuntukkan enam kerusi hasil rundingan bersama parti itu dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP Johor. Enam kerusi itu adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

PKR pula dilapor menawarkan MUDA tiga kerusi, namun kawasan terbabit masih belum didedahkan berikutan rundingan belum dimuktamadkan.

Faezuddin berkata, beliau mempunyai pendapat berbeza dengan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) berhubung kerusi diberikan kepada MUDA.

"Sayang, apa yang orang ramai nilai sekarang, MUDA tak ubah seperti budak manja, penakut dan tidak sukakan cabaran apabila sekadar mengharap bertanding kerusi mudah menang atau ada potensi menang saja. Belum apa-apa lagi kita sudah bentang karpet merah untuk MUDA. Saya pun hairan, apa istimewa MUDA sedangkan mereka belum teruji," katanya.