Pas sejak menjadi sebahagaian Kerajaan Persekutuan dengan bangganya menyatakan rakyat semakin yakin dengan prestasi pentadbiran mereka.
Malah menghadapi Umno di kubu kuat parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Johor pun Pas tidak gentar. Malah dikatakan mempunyai sokongan mencukupi dan ingin bertanding banyak kerusi.
Namun hakikatnya, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, Pas sebenarnya tidak tahu memerintah dan gagal memajukan negeri yang ditadbir mereka.
Katanya, kerajaan Pas terlalu selesa dengan bayaran royaliti petroleum dan gagal menarik pelaburan sehingga banyak kemudahan untuk rakyat tidak boleh dilaksanakan.
“Pas ingat lepas menang undi dan menjadi kerajaan tidak perlu perjuangkan ekonomi, bawa masuk pelabur, meningkatkan pendapatan rakyat.
“Mereka hanya perdaya rakyat dengan menjual agama, janji laksana undang-undang agama tetapi sampai sekarang ia tidak terlaksana pun.
“Sepatutnya royalti itu untuk gandakan dana, tetapi kita lihat tidak ada kesan pengganda. Sepatutnya digandakan dengan tarik pelabur luar.
“Di Terengganu semua sektor menguncup, pekerjaan tak ada, terpaksa eksport anak-anak Terengganu keluar (mencari pekerjaan ke Selangor), aktiviti ekonomi merosot, pertanian diabaikan, aktiviti pelancongan dan kraftangan pun lingkup,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Azan, sewaktu pentadbiran BN tiga dekad lalu rakyat Terengganu diberi wang saku namun. Mereka merasa wang hasil minyak. Namun katanya pada era Pas tiada lagi pemberian seperti itu.
“Kalau dulu rakyat Terengganu pernah dapat wang saku petroleum sebulan RM90, itu zaman saya belajar dalam 20 atau 30 tahun dulu.
“Di mana peruntukan royalti ini dianggap hak rakyat Terengganu dan ia diagihkan kepada setiap pelajar tak kira latar belakang asalkan anak Terengganu.
“Tetapi Pas 4 tahun dalam kerajaan, dulu beria-ia kata kalau dapat jadi kerajaan kita laksana bulan bintang tetapi sekarang keadaan sama saja, malah lebih teruk,” ulasnya lagi.
Tegas Azan, menteri menteri Pas di peringkat Persekutuan sepatutnya melakukan sesuatu proaktif untuk menarik pelaburan ke negeri itu, bukannya mengharapkan pelabur datang sendiri ke Terengganu yang bukan lokasi utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.