Aliran mengutuk serbuan polis baru-baru ini ke pejabat the Freedom Film Network, berikutan tayangan filem animasi pendek Chilli Powder and Thinner.
Ini merupakan serangan ke atas kebebasan berekspresi dan bersuara seperti yang dimaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Juga turut diserbu adalah rumah kartunis Amin Landak, yang terlibat di dalam produksi filem kontroversi ini. Kedua-dua mereka – Amin dan pengasas bersama Freedom Filem Network Anna Har – pada awalnya dipanggil ke Bukit Aman untuk siasatan berkenaan filem itu.
Filem ini berkisarkan kisah seorang individu yang mendakwa didera, bersama dua lagi temannya, ketika dalam tahanan polis. Filem ini bertujuan bagi membangkitkan kesedaran serta keprihatian berkaitan isu kematian dalam tahanan.
Tindakan pihak berkuasa yang menggunakan kuasa sewenang-wenangnya merupakan sebuah bentuk penapisan yang pastinya tidak diterima baik oleh para penyokong hak asasi manusia serta mereka yang terlibat di dalam media dan seni.
Kami menyeru pihak polis untuk menghentikan segala bentuk penyiasatan berkaitan kedua-dua individual yang hanya menggunakan hak demokratik mereka.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
4 Julai 2021