TENGKU RAZALEIGH HARUS SEFAHAM ANWAR Siri 1


     MSO

SEMALAM menerusi satu status di Facebook saya berjanji akan memberi ulasan sedikit mengenai apa dikatakan "dapatan" yang diperolehi sdr Kamal Amir Kamal Hijaz, yang kononnya akan berlaku perubahan kerajaan dalam masa sehari dua ini.

Serentak dengan perkembangan itu beliau menyebut ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan dilantik menjadi perdana menteri.

Taraf atau kedudukan Ku Li sebagai PM bersifat sementara, PM intrim. Saya percaya atas kapasiti yang dimiliki sahabat saya itu, selaku seorang wartawan senior dan ahli politik veteran ramai yang tertunggu-tunggu apa yang dinyatakan itu. Pastinya ada mengharap Kamal Amir memberi sesuatu maklumat sahih dan bukan bercakap atas angin nan penuh berilusi.

Makanya ramai tertanya-tanya dan menanti-nanti sejauh mana kebenaran "dapatan" yang ditemui Kamal Amir itu. Seolah-olah dapatan diperolehi Kamal itu sesuatu yang eksklusif dan special yang tidak perlu diuar-uarkan. Tetapi kenapa beliau menyebutnya awal? Ramai yang WhatsApp saya secara peribadi mahu mengetahui duduk perkaranya.

Kecewa dan kesal.

Sehubungan itu ada yang kurang senang dan kecewa dengan apa disebut Kamal itu kerana ia secara tidak langsung menyentuh premis Anwar Ibrahim. Bagi pendokong dan mereka yang penasaran mendambakan Anwar sebagai perdana menteri terkilan dan kesal dengan apa disentuh Kamal itu. Mereka bimbang takut Anwar di"sailang" untuk kesekian kalinya.

Dan dalam live Facebooknya pada 23 Jun, Kamal menimbulkan soal pengampunan diperolehi Anwar kononnya tidak penuh (full pardon) yang boleh mengganggu untuknya dilantik jadi PM.

Kamal menimbulkan pengampunan yang diterima Anwar sebagai menjadi hambatan dan menghalang untuknya dilantik menjadi perdana menteri. Alasan itulah menyebabkan apa yang dinamakan "dapatan" mencuriga menyebabkan pendedahan Kamal itu dianggap omong kosong dan suatu perang saraf semata-mata.

Ada isu apa dikatakan Kamal itu, cuma sayang beliau tidak menjelas lanjut mengenai hal pengampunan itu dengan menyebut fasal-fasal atau butiran jelas dalam Perlembagaan yang boleh menghalang Anwar. Justeru itu dengan mudah bagi mereka yang cekap membaca kilau dalam kilat, menganggap ia adalah satu saraf Kamal yang dilihat sangat mesra dan berminat untuk mengangkat Ku Li sebagai perdana menteri.